KUALA LUMPUR – Program tahunan Kembara Rahmah kembali lagi dengan kini memasuki tahun kelima penganjurannya yang bertujuan untuk menyantuni golongan yang kurang bernasib baik di Larut, Perak.
Penganjur iaitu Pertubuhan Persaudaraan Kebajikan Daerah Larut, Matang & Selama dalam satu kenyataan berkata, ia membabitkan golongan termasuk anak yatim, keluarga miskin, orang kelainan upaya (OKU), mualaf dan pesakit kronik.
Katanya, sejumlah RM130,000 diperlukan bagi menjayakan program ini dengan sasaran membantu 1,000 penerima di daerah itu.
“Program ini merangkumi aktiviti penjelajahan dan santuni kepada komuniti yang memerlukan di mana Kembara Rahmah akan bermula di Ulu Sepetang, Batu Kurau dan berakhir di Kampung Garok, Selama, Perak dengan persinggahan di tujuh lokasi utama.
“Dengan berkat usaha semua pihak, program ini diharapkan dapat membawa sinar kegembiraan kepada mereka yang memerlukan, serta memperkukuh semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Penganjur berkata, sepanjang program itu, sumbangan dalam bentuk duit raya, hamper makanan kering, hadiah serta aktiviti berbuka puasa bersama anak-anak yatim akan disampaikan kepada para penerima.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Tabung Anak Yatim Kawasan Larut: 5582-1131-3341 atau Pertubuhan Persaudaraan Kebajikan Daerah Larut, Matang & Selama: 5582-1151-7777
Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Ustaz Nazri di talian +6016-282 7476. – MalaysiaGazette
