KLUANG – Lima maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 58.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 12.30 tengah malam turut menyebabkan empat mangsa tercedera manakala empat yang lain cedera ringan.
Katanya, kemalangan melibatkan lori kontena jenis Volvo, kereta Toyota Camry dan Proton X50 serta kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika lori yang dipandu Abdul Rahman Muhammad Rashid Rajos, 35, dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan dikatakan pecah menyebabkannya lori itu hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta Toyota Camry yang turut dalam arah perjalanan sama.
“Akibat kejadian itu lori kontena itu telah terbabas dan menyeberang ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.
“Pelanggaran itu turut menyebabkan berlaku kebakaran ke atas kereta Honda Stepwagon Spada, bagaimanapun semua mangsa sempat dikeluarkan pengguna jalan yang kebetulan berada di lokasi kejadian,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia ditempat kejadian adalah pemandu dan penumpang Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, lelaki dipercayai Melayu berumur 20 an dan penumpang Honda Stepwagon Spada, Mariam Nasarudin, 2.
Menurutnya, pemandu dan penumpang hadapan Honda Stepwagon Spada iaitu pasangan suami isteri, Nasaarudin Pardi, 36, dan Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Tambahnya, mereka yang cedera melibatkan patah kaki, pinggang dan kecederaan pada bahagian anggota badan.
Semua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dan Hospital Kulai.
“Pemandu lori kontena ditahan untuk siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Nizar Mamun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam berkata, seramai 13 anggota daripada BBP Renggam dan Kulai dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pasukan penyelamat turut dibantu bersama-sama tiga jentera dalam operasi menyelamat,” katanya.- MalaysiaGazette