KOTA TINGGI – Tiga beranak yang maut dalam kemalangan tragis di Kluang malam tadi sepatutnya menjalani sesi fotografi hari raya keluarga pada pukul 10 pagi ini di sini.
Nur Hafiza Bani, 36, berkata, adiknya Siti Khazira Bani, 35, suaminya, Nasarudin Pardi, 36, dan anak mereka Mariam Nasarudin, 2, sepatutnya sampai ke rumah orang tuanya di Taman Kota Jaya di sini malam tadi.
“Kami sekeluarga rancang untuk ambil gambar raya sekeluarga pada pagi ini manakala petang ini kami akan berbuka puasa bersama-sama.
“Biasanya kami semua akan beraya di sini rumah mak dahulu, petang raya baru adik akan ke rumah belah suami yang tinggal di taman yang sama.
“Malam raya pula kami akan bergerak ke Pontian ke rumah atok. Memang begitulah setiap tahun,” katanya ketika ditemui di rumah orang tuanya di taman tersebut.
Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan dimana kali terakhir mereka berjumpa pada minggu pertama puasa dan sempat berbuka bersama-sama.
Dia berkata, kejadian tersebut berlaku semasa adiknya sekeluarga bertolak pulang untuk bercuti raya dari rumah mereka di Bukit Jalil pukul 9 malam selepas solat Isyak.
“Dia bertolak lepas Isyak. Semalam kira-kira pukul 11.30 malam adik lelaki ada tanya jem ke? Tetapi dia tidak balas. Masa tu kami sangka dia lambat sebab sangkut jem.
“Namun dia tidak pernah tidak balas mesej kami. Bahkan dia seorang yang tidak akan tidur dan akan teman suaminya sepanjang pemanduan. Dia juga tidak pernah kehabisan bateri jika hendak berjalan jauh.
“Masa tu memang rasa tidak sedap hati tetapi tak terfikir mereka terlibat kemalangan. Kira-kira pukul 3 pagi ada orang telefon maklumkan mereka terlibat kemalangan di mana barang-barangnya semua musnah termasuklah telefon bimbit ” katanya.
Menurutnya, arwah mempunyai empat anak dan yang maut dalam insiden berkenanan adalah anak bongsu mangsa yang duduk di kerusi bayi ketika kejadian berlaku.
Jelasnya, dua lagi anak adiknya masih berada di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang namun berada dalam keadaan yang stabil, manakala seorang lagi berada di rumah neneknya itu.
“Soal penjagaan anak-anak arwah kami ok sahaja untuk menjaga anaknya tambahan pula mereka semua rapat dengan nenek di sini,” katanya yang memaklumkan jenazah adik, suami dan anak buahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam di sini.
Dalam kejadian berkenaan, tiga beranak tersebut antara lima yang terkorban dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan, Kluang, pukul 12.30 tengah malam tadi.
Kemalangan melibatkan lori kontena jenis Volvo, kereta Toyota Camry, kenderaan pelbagai guna MPV Honda Stepwagon Spada dan Proton X50 dinaiki tiga beranak tersebut. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN