KUANTAN – PAIP menyediakan beberapa tindakan perancangan tunggu sedia untuk sebarang insiden luar jangka yang berkemungkinan akan berlaku ketika musim perayaan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, langkah berkenaan diambil bagi menangani insiden paip pecah, terputus bekalan elektrik di LRA atau pencemaran sumber air mentah.
Menurutnya, sebanyak 1,288 tangki statik dan ditempatkan di kawasan-kawasan berisiko tinggi di setiap Daerah bermula 24 Mac 2025.
“Selain itu, 38 buah lori tangki PAIP dalam keadaan baik dan tunggu sedia bagi penghantaran bekalan air alternatif jika berlaku gangguan bekalan.
“Langkah lain penyediaan kontrak bertempoh perkhidmatan tunggu sedia Lori Tangki Jumbo (Jumbo Tanker) bagi membantu mempercepat urusan agihan air oleh lori tangki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Saiful Zaini, pihaknya menyediakan 30 filling station di seluruh Pahang sebagai persediaan pengambilan air untuk kegunaan agihan bekalan alternatif oleh lori tangki
“Pelantikan tunggu sedia kontraktor pembaikan di setiap daerah bagi memastikan insiden luar jangka dapat dibaiki dalam tempoh segera.
“Penyediaan generator dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi LRA yang berada dalam kawasan berisiko tinggi terputus bekalan elektrik ketika musim perayaan,” jelasnya.
Saiful Zaini berkata, PAIP optimis dapat menghadapi kemungkinan gangguan tersebut dengan lebih baik dan kakitangan PAIP yang bertugas akan dapat bertindak lebih pantas seterusnya memberi keselesaan kepada para pengguna.
Pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemah, mengelak pembaziran dan melakukan persediaan awal bekalan air secukupnya bagi kegunaan di musim perayaan.
Mereka juga dinasihatkan untuk menyediakan tadahan air ketika sebelum waktu puncak penggunaan sebagai salah satu persediaan awal dan mengurangkan penggunaan air pada waktu puncak musim perayaan.
Untuk sebarang aduan masalah, pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) melalui talian 09-573 9999 yang beroperasi selama 18 jam sehari iaitu dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam. – MalaysiaGazette