Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali mencabar tiga pemimpin pembangkang negeri itu mencari dan mengesahkan sumber yang mendakwa beliau terbabit dalam skandal berkaitan rasuah mineral, baru-baru ini. 

Dalam kenyataan hari ini, menamakan pemimpin tersebut adalah Pengarah Pilihan Raya Umno Sabah, Jeffery Nor Mohamed, Adun Elopura, Calvin Chong dan bekas wakil rakyat Papar Ahmad Hassan.

Katanya, ketiga-tiga individu itu mendakwa menjadi ‘suara’ untuk memanjangkan beberapa perkara uang terkandung dalam ‘mesej layang’ tanpa sumber dan nama, ditularkan di akaun media sosial palsu.

“Saya meminta kedua-dua individu ini dan Ahmad Hassan (Mantan
Ahli Parlimen Papar – Warisan) yang menyumbang kepada penularan ‘mesej layang’ agar membantu saya mencari sumber dakwaan tersebut. Sila bawa ‘wartawan siasatan (X7)’ tampil dan ‘Datuk Z’ keluar dari alam ghaib serta dedahkan segala bukti yang mereka ada, sekiranya watak-watak ini benar-benar wujud,
” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu turut mencabar Jeffery, Calvin dan Ahmad membuat kenyataan jelas yang beliau terbabit rasuah, jika gagal mencari sumber berkenaan.

“Saya cabar ketiga-tiganya membuat kenyataan susulan bahawa saya terlibat rasuah, say it out loud, tanpa ayat berlapik,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan mengarahkan peguamnya menyerahkan notis rasmi meminta ketiga-tiga individu itu memberikan penjelasan.

“Sebagai individu yang menggelar diri pemimpin, mereka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan dan tidak bermodalkan fitnah untuk mencipta persepsi politik. Ini lambang tahap integriti diri,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Jeffrey menggesa Armizan tampil memberi penjelasan susulan penularan gambar tular menunjukkan pemimpin GRS itu bertemu dengan sebuah syarikat perlombongan dari Indonesia pada 2023 yang menimbulkan persoalan berkait dakwaan rasuah mineral.

Walaubagaimanapun, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menafikan dakwaan berkenaan.

Sebaliknya beliau berkata,  kehadirannya di Ibu Pejabat PT Bayan Resources di Jakarta pada 16 Mei dua tahun lalu adalah bagi perjumpaan rasmi di antara pengurusan syarikat itu dengan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here