LONDON – Berita baik buat Arsenal apabila penyerang sayapnya, Bukayo Saka berkongsikan khabar apabila kembali ke sesi latihan bersama pasukan Gunners itu.
Kemunculan semula Saka bakal menjadi suntikan semangat buat pasukannya menghadapi baki saingan liga dan kempen Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.
“Hello sekali lagi”, tulis pemain kebangsaan England itu menerusi laman Instagram bersama gambarnya itu.
Pemain berusia 23 tahun itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Crystal Palace pada Disember lalu.
Sepanjang ketiadaan Saka, The Gunners hanya memperoleh 25 mata daripada 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berbanding Liverpool telah meraih 34 daripada 14 perlawanan.
Arsenal turut kehilangan rakan penyerangnya iaitu Kai Havertz dan Gabriel Jesus akibat kecederaan dengan menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Piala FA dan Piala EFL.
Namun, skuad kendalian Mikel Arteta itu kekal dalam saingan UCL dan kehadiran Saka bakal menambah kekuatan jentera serangan Arsenal dalam aksi suku akhir menentang Real Madrid bulan depan. – Agensi