KUALA LUMPUR – “Bagi saya tidak perlulah mengungkit perkara itu kepada saudara se-Islam kita yang sedang menghadapi kesukaran,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menjawab permintaan banyak pihak yang mahu Datuk Jamal Yunos memohon maaf kepada beliau.
Malah bekas Perdana Menteri itu, menyeru orang ramai supaya mendoakan kesembuhan Jamal yang kini sedang bertarung nyawa apabila kanser paru-paru yang dihidapinya sudah merebak ke otak.
“Saya pula nak ambil kesempatan ini nak minta maaf kepada Datuk Jamal jika ada kesilapan dan kesalahan saya terhadapnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengecam Dr Mahathir berhubung isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, Jamal dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Ampang, Sabtu lalu selepas tahap kesihatannya semakin teruk akibat kanser yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.
Jamal, 54, memberitahu, sel kanser yang menyerang bahagian paru-parunya pada 2022 bagaimanapun kini merebak ke bahagian otak menyebabkan beliau sukar untuk bercakap dan makan secara normal.