KLUANG – “Ini kehilangan yang besar buat kami sekeluarga, lagi pun berapa lagi nak Aidilfitri, kami tak jangka terima perkhabaran sedih ini.
“Lagi-lagi pagi semasa azan dan takbir raya berkumandang pasti buat saya sedih,” ujar Muhamad Redzaa Abu Hashim, 47, bapa kepada pramugari Batik Air, Iklil Nuraudah, 23, yang terkoban dalam kemalangan di sini malam tadi.
Dia yang ditemui ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hopsital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini menyifatkan allahyarham anak yang manja dan bertanggungjawab.
Iklil Nuraudah, katanya, dalam perjalanan pulang ke Johor kerana mahu mengambil Muhamad Redzaa dan isteri, Mimi Sabrina Yusuf, 47 beraya dengannya di Sepang, Selangor.
“Selepas berhari raya di Sepang, kami rancang sekeluarga pulang ke Pasir Gudang, Johor Bahru untuk beraya bersama,” katanya.
Dalam kejadian berkenaan, Iklil Nuraudah dan kawan lelakinya, Mohd Nur Afiji Asamad, 27, menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton X50, antara lima yang terkorban dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan di sini pukul 12.30 tengah malam tadi.
Kemalangan melibatkan lori kontena jenis Volvo, kereta Toyota Camry, MPV Honda Stepwagon Spada dan Proton X50.
Tiga lagi yang meninggal dunia Siti Khazira Bani, 35, bersama-sama suami, Nasaarudin Pardi, 36, serta anak bongsu mereka, Maryam Nusaibah, 2.
Sementara itu, Mimi Sabrina berkata, kehilangan anaknya itu amat terasa lebih-lebih lagi lagi dua hari menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Mimi Sabrina berkata, dia mendapat panggilan mengenai kemalangan menimpa anak kedua enam daripada beradik iitu kira-kira pukul 5 pagi tadi.
“Dia pulang ke Johor kerana mahu mengambil kami sekeluarga beraya dengannya di Sepang iaitu rumah sewa yang diduduki bersama-sama kakak sulungnya.
“Dia meminta saya bersiap-siap dan rancang bertolak ke sana selepas Subuh. Pukul 12 tengah malam saya tunggu-tunggu, dia tak tiba juga, senyap tiada khabar berita, risau juga takut apa apa berlaku.
“Saya dapat tahu (kematian) lambat, anak perempuan saya sulung saya yang telefon,” katanya.
Menurutnya, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan mereka sekeluarga merancang untuk menyambut hari kelahiran allahyarham di rumah sewanya yang jatuh pada kelmarin.
“Kami hanya hantar ucapan untuknya. Kehidupan saya memang terasa berubah 100 peratus kerana arwah adalah tonggak keluarga saya.
“Dia selalu memberi wang belanja kepada kami ibu bapanya sebanyak RM1,000 sebulan dan banyak membantu perkara yang lain,” katanya.- MalaysiaGazette