KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyuarakan kebimbangan berhubung pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) yang mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh pelajar mulai 21 April depan.
Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, langkah tergesa-gesa KPM dalam melaksanakan perkara ini menimbulkan keraguan sama ada ia benar-benar mampu memperkukuhkan semangat patriotisme atau hanya sekadar menjadi projek tanpa asas kajian yang kukuh.
Soalnya, adakah terbukti pemakaian lencana secara wajib ini mampu menyemai rasa cinta terhadap negara.
“Atau adakah ini hanya satu lagi tindakan yang tidak mengambil kira pandangan pelbagai pihak?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wendy, terdapat banyak persoalan yang perlu dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kepada rakyat, terutamanya ibu bapa dan para pendidik.
“Adakah pandangan daripada golongan pendidik, wakil pelajar, pakar sosiologi, dan para ibu bapa telah diambil kira sebelum melaksanakan dasar ini?
“Keputusan tergesa-gesa tanpa perbincangan komprehensif hanya akan menimbulkan kekeliruan dan reaksi bertentangan dalam kalangan pelajar,” tegasnya.
Dalam pada itu, Wendy juga mempersoalkan sama ada kewajipan ini terpakai kepada pelajar sekolah swasta dan antarabangsa.
“Sekarang, KPM hanya mewajibkan institusi di bawah seliaannya. Bagaimana pula dengan sekolah swasta dan antarabangsa?
“Bukankah mereka juga rakyat Malaysia yang perlu dipupuk dengan semangat patriotisme? Mengapa cadangan ini kelihatan tempang,” soalnya.
Tambah beliau, jika KPM benar-benar mahu membina patriotisme yang kukuh dalam kalangan pelajar, pendekatan lebih holistik dan menyeluruh perlu dilaksanakan
“Dasar ini perlu merangkumi pengukuhan kurikulum dan kokurikulum, mempromosikan dialog antara pemegang taruh, serta memberi ruang kepada rakyat untuk berkongsi pandangan, cadangan dan kerjasama secara konsisten,” katanya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN