KLUANG – Pemandu lori muatan mesin yang menjadi punca kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan di sini malam tadi dan meragut nyawa lima nyawa sudah diambil keterangan dan ditahan reman hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki tempatan berusia 35 tahun itu didapati negatif.
“Pemandu treler telah disoal siasat dan telah ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu treler itu turut cedera di kaki kanan dan pinggang dan mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK),” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian berkenaan, lima terkorban termasuk tiga beranak dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di lebuh raya berkenaan pukul 12.30 tengah malam tadi.
Kemalangan melibatkan lori kontena jenis Volvo, kereta Toyota Camry, kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada dan Proton X50.
Pasangan yang meninggal dunia itu ialah pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala anak perempuan, Mariam Nasarudin, 2, meninggal dunia di tempat kejadian.
Turut maut dalam kemalangan itu pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, yang tiada lesen memandu dan penumpang hadapan, Mohd Nur Afiji Asamad, 27, akibat cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. – MalaysiaGazette