Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai imigresen ditahan kerana disyaki meloloskan warga asing melalui pintu masuk Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa melalui pemeriksaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, pegawai tersebut yang ketika itu bertugas di tempat kejadian, ditahan pukul 12 tengah hari semalam.

Sekitar Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA. Gambar hiasan.

Menurut kenyataan itu, bertindak atas maklumat awam dan pemantauan oleh Unit Integriti, JIM KLIA, pemeriksaan ke atas pegawai terbabit menemukan sembilan pasport Pakistan dan dua pasport Sri Lanka tersimpan di dalam baju sejuk (sweater) yang dipakainya.

“Tindakan penahanan ke atas pegawai terbabit telah dibuat dan diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan JIM Ibu Pejabat untuk siasatan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport,” kata kenyataan itu.

Menurut Zakaria, jabatan berkenaan tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah.

Perbuatan itu sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan dan negara.

Ujarnya, tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.

“JIM serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here