KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengoperasikan 80 sensor seismik di seluruh negara setakat ini, bagi mengesan sebarang aktiviti gempa bumi dalam negara dan serantau.
Ketua Pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata,pada masa sama, seluruh negara di dunia juga berkongsi data daripada sensor mereka untuk makluman bersama.
“Setakat ini MetMalaysia juga mengoperasikan 83 siren tsunami yang terletak di lokasi yang terdedah kepada tsunami di seluruh negara.
“Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) berupaya untuk menyalurkan maklumat gempa bumi kepada orang awam dalam tempoh lapan minit selepas dikesan oleh sensor,” katanya ketika dihubungi Bernama.
SAATNM berperanan mengesan gempa bumi yang berlaku di rantau ini dan seterusnya mengeluarkan maklumat gempa bumi serta nasihat atau amaran jika ia berpotensi menjana ombak tsunami.
Semalam, Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10 kilometer dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada Skala Richter melanda kawasan yang sama.
Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh, Vietnam. – BERNAMA