KUALA LUMPUR – Penyokong bola sepak yang hadir menyaksikan perlawanan Selangor FC menentang Terengganu FC pada 5 April dengan syarat berpakaian pakaian tradisional akan berpeluang mendapatkan tiket percuma.
Aksi Liga Super yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor itu dijangka pada hari raya keenam dan Selangor FC telah menawarkan tiket percuma terhad sebagai kemeriahan sambutan Aidilfitri.
Menerusi hantaran di laman rasmi Selangor FC, penyokong kedua-dua pasukan berpeluang masuk ke stadium secara percuma jika berpakaian tradisional Hari Raya Aidilfitri.
“Berita baik! Sempena meraikan perayaan yang penuh bermakna ini, semua penyokong yang hadir dengan berpakaian tradisional Hari Raya Aidilfitri dibenarkan untuk masuk secara percuma melalui Pintu Masuk Open (Home & Away) bagi menyaksikan perlawanan antara Selangor dan Terengganu.
“Jom ramai-ramai kita beraya di stadium sambil menonton bola!,” katanya.
Bagaimanapun, penebusan tiket percuma itu adalah terhad sebanyak 1,000 keping bagi kategori ‘open home’ dan 300 keping bagi kategori ‘open away’.
Penebusan tiket bermula pada pukul 5:30 petang sehingga 7:30 petang di kawasan open.
Pemakaian baju Raya Aidilfitri adalah wajib untuk proses penebusan tiket percuma yang akan diberikan secara fizikal semasa hari perlawanan.
Aksi menentang Terengganu ini penting buat Selangor dalam mengukuhkan lagi tempat kedua Liga Super bagi menjauhkan jarak dengan Kuching City yang berada di tangga ketiga liga. – MalaysiaGazette