KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan masih sesak ketika ini berikutan orang ramai berterusan bergelak pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang sambutan Aidilfitri.
Berdasarkan kemas kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di laman X rasminya, trafik perlahan menuju arah Timur di beberapa lokasi.
Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik perlahan sebelum Plaza Tol Gombak, sepanjang plaza tol menuju Genting Sempah sehingga Bentong.
Keadaan sesak dilaporkan berlaku di LPT 1 dari Kilometer (KM) 13.3 hingga KM237.2 iaitu laluan Gambang-Jabur berikutan pertambahan trafik.
Kemas kini Plus menerusi laman X rasminya turut memaklumkan trafik perlahan arah utara dan selatan.
Trafik dilaporkan perlahan arah Utara dari Tapah ke Gopeng, manakala arah Selatan, aliran trafik perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dari Bandar Serenia ke Persimpangan Nilai (U).
Selain itu, Plus memaklumkan beberapa kejadian kemalangan yang mengakibatkan kesesakan di KM150.6 arah Utara dari Bukit Tambun (U) ke Juru; KM296.2 dari Gopeng ke Simpang Pulai.
Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik hingga 2.77 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Aidilfitri kali ini.
LLM menerusi kenyataan memaklumkan, sebanyak 2.158 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya PLUS, manakala 216,000 di Lebuhraya KL–Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 (156,000), LPT Fasa 2 (70,000) dan 174,000 di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat pada hari puncak. – MalaysiaGazette