KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia diunjur mengekalkan trend diniagakan tidak berubah minggu depan disebabkan minggu dagangan yang singkat, berlegar sekitar julat 1,505-1,515.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata, minggu depan, perhatian akan beralih kepada pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenai 25 peratus tarif ke atas semua kereta buatan asing, berkuat kuasa 2 April depan.
“Menambahkan kerumitan, moratorium larangan TikTok oleh Presiden AS Donald Trump akan tamat pada 5 April, berpotensi berfungsi sebagai alat tawar-menawar dalam rundingan tarif. Kesediaannya untuk melonggarkan tarif terhadap import China sebagai pertukaran untuk resolusi TikTok menimbulkan keadaan sukar iaitu antara dasar perdagangan dan strategi geopolitik,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata jika tarif diteruskan seperti dijangkakan, keyakinan pelabur mungkin kekal stabil, disokong oleh lebihan perdagangan sederhana Malaysia dan pendedahan tarif yang terhad.
“Kami tidak menjangkakan pergerakan besar minggu depan. Sebaliknya, FBM KLCI sepatutnya dirangsang oleh minggu dagangan singkat, ia mungkin melindunginya daripada kedudukan tidak menentu di peringkat global,” katanya.
Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada mulanya mencatatkan penurunan kerana pasaran berhati-hati terhadap tarif AS, seterusnya akibat pemburuan saham berharga murah dan isyarat positif dari Wall Street, ia meningkat selama tiga hari berturut-turut, disokong oleh minat belian dan keyakinan pelabur.
Bagaimanpun, akhirnya ia merosot semula disebabkan aktiviti pengambilan untung dan kebimbangan mengenai gempa bumi yang berlaku di Myanmar dan Thailand.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama menambah 8.30 mata kepada 1,513.65 daripada 1,505.45 pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, Indeks FBM Emas menambah 42.25 mata kepada 11,348.04, Indeks FBMT 100 naik 41.74 mata kepada 11,103.12, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 97.24 mata kepada 11,124.41.
Bagaimanapun Indeks FBM 70 merosot 11.98 mata kepada 16,276.09 dan Indeks FBM ACE susut 15.72 mata kepada 4,808.92.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan jatuh 0.16 mata kepada 153.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 55.62 mata kepada 18,384.21, Indeks Perladangan berkurangan 12.20 mata kepada 7,437.73, namun Indeks Tenaga naik 6.18 mata kepada 757.98.
Jumlah dagangan meningkat kepada 14.0 bilion unit bernilai RM11.43 bilion daripada 12.54 bilion unit bernilai RM12.15 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menambah kepada 6.25 bilion unit bernilai RM9.90 bilion daripada 6.12 bilion unit bernilai RM10.95 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 6.05 bilion unit bernilai RM955.45 juta daripada 4.97 bilion unit bernilai RM671.69 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.70 bilion unit bernilai RM529.23 juta daripada 1.45 bilion unit bernilai RM524.70 juta sebelum ini.
Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin dan Selasa (31 Mac dan 1 April) depan bersempena cuti umum Aidilfitri, tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. – BERNAMA