UMAT Islam di Malaysia mahupun di luar negara kini pastinya sudah memasuki fasa ‘kalut’ dan teruja dalam menyediakan persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal disambut pada minggu hadapan. Jika di negara kita, kawasan tumpuan masyarakat untuk membeli belah keperluan hari raya sudah dibanjiri pengunjung tidak mengira waktu hinggakan tidak menang tangan penjual melayan karenah pembeli hingga ke lewat pagi. Waktu inilah rezeki berganda yang datangnya mungkin setahun sekali buat para peniaga.
Sepanjang melalui ibadah berpuasa di bulan Ramadan, antara ibadah tambahan yang sinonim di bulan mulia ini adalah amalan bersedekah kerana diganjarkan pahala berlipat kali ganda. Umat Islam berlumba-lumba dan tidak lokek mengeluarkan duit untuk bersedekah sepanjang bulan ini. Amalan bersedekah dalam bentuk berkongsi juadah berbuka puasa dengan jiran tetangga yang dibuat oleh orang tua kita sebenarnya merupakan satu didikan kepada erti mengenang dan membalas budi mereka yang memberi sesuatu kepada kita.
Penulis masa ingat ketika kecil ketika ‘bertugas’ sebagai penghantar juadah berbuka kepada jiran tetangga, kebiasaannya tidak pulang dengan raga basikal yang kosong. Ini kerana apabila juadah berbuka dihantar, pastinya ada juadah balasan yang diberikan. Jika bukan hari yang sama, tetap dibalas di hari lain sebagai tanda mengenang dan membalas budi
Dalam pantun Melayu misalnya, kita biasa juga mendengar patah-patah pantun yang mengangkat tema berkaitan ketinggian budi, mengenang budi dan membalas budi seperti ‘Pisang emas di bawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi di bawa mati’. Pemahaman mudah kepada intipati pantun ini ialah bagaimana budi itu bukan sesuatu yang boleh dinilaikan hatta pada barang yang berharga kepada manusia seperti emas atau wang ringgit.
Budi itu nilai dan darjatnya lebih tinggi dari segala harta kekayaan hinggakan seseorang individu yang ‘menerima’ budi baik dari seseorang akan terus ‘berhutang’ budi tersebut sehingga ke hujung nyawanya. Lebih mulia dari itu, budi baik yang dihulurkan akan terus dikenang, diingati dan dihargai walaupun insan yang menghulurkan budi tersebut juga telah tiada lagi di dunia ini.
Budi adalah suatu perbuatan yang meletakkan keikhlasan, rasa ingin membantu, prihatin dan kasih-sayang sesama insan yang menggerakkan diri kita untuk membantu insan lain. Membantu seorang buta melintas jalan adalah budi, mendermakan organ menyelamatkan nyawa orang lain juga adalah budi malahan memelihara anak yatim dan miskin juga adalah budi. Apa yang ingin penulis tekankan di sini, budi itu tidak diukur pada perbuatan yang besar semata-mata, perbuatan yang kecil juga tetap dikira sebagai budi.
Di dalam Islam, membuat kebaikan itu sesuatu yang amat dituntut, ditekankan dan diberi ganjaran pahala yang besar kepada pelakunya. Berbudi ini juga tiada musim dan tiada tempoh luputnya malahan ia jugak bersifat sarwajagat kerana ia tidak dibatasi pada perbezaan agama dan kepercayaan, bangsa dan warna kulit, sempadan negara mahupun hanya kepada manusiawi semata-mata.
Selagi punya masa dan kemampuan untuk berbudi, selagi itu kita menghulurkan budi pada yang memerlukannya. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sekiranya hari kiamat hendak terjadi, sedangkan di tangan salah seorang diantara kalian ada biji kurma maka apabila dia mampu menanam sebelum terjadi kiamat maka hendaklah dia menanamnya”.
Malahan Allah SWT turut berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. (Surah al-Zalzalah 99:7-8)
Dalam konteks kekeluargaan, budi kedua orang tua membesarkan kita dengan penuh kasih-sayang, ibarat menatang minyak yang penuh tidak mampu kita balas. Atas sebab itu penulis cukup tersentuh hati, kecewa dah marah apabila melihat ada anak-anak yang sanggup mengabaikan orang tua mereka apabila sudah selesa dan berjaya dalam kehidupan.
Melihat kepada konteks keilmuan, jangan kita lupa pada insan yang mengajar dan mendidik kita dengan penuh sabar serta penuh kesungguhan. Kita mengenali mereka sebagai guru di sekolah dan pensyarah apabila di universiti.
Insan yang ibarat dian membakar diri ini amat besar budinya pada kita kerana ilmu yang ‘diperturunkan’ itulah yang memberi manfaat besar pada kita. Budi para anggota keselamatan seperti tentera dan polis amat besar dan tak terhitung. Mereka meletakkan nyawa sebagai gadaian apabila bertugas demi memastikan kedaulatan dan keamanan negara sentiasa terpelihara.
Moga tarbiah madrasah Ramadan mendidik kita menjadi insan yang memberi lebih manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Yakinilah apabila sudah banyak menabur budi, hidup akan lebih dirahmati dan di akhirat kelak menuai berkatnya. “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.
Penulis merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia