KUALA LUMPUR – Hujan dan ribut petir diramal melanda di beberapa kawasan menjelang Aidilfitri.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang meramalkan sitausi itu memaklumkan, beberapa negeri turut dijangka mengalami hujan serta ribut petir pada sebelah pagi, petang dan malam sepanjang dua hari perayaan, iaitu Isnin dan Selasa ini.
“Pada pagi Isnin ini, hujan dan ribut petir diramal di Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, serta Sarawak (bahagian Sarikei dan Mukah).
“Sementara itu, pada pagi Selasa ini pula, cuaca sama diramal melanda Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, serta bahagian barat Johor,” katanya dalam kenyataan.
Menurut METMalaysia lagi, hujan serta ribut petir melanda lebih banyak kawasan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak pada sebelah petang Isnin ini.
Katanya, antara negeri-negeri yang dijangka terlibat iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor (bahagian timur), Sarawak (bahagian Kapit dan Miri), serta Sabah (bahagian Sandakan, Tawau, dan Kudat).
“Pada Selasa pula, ribut petir dijangka melanda Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor (bahagian timur), dan Sabah.
“Bagi cuaca sebelah malam, hujan serta ribut petir diramal di Pahang dan Sabah (bahagian Tawau) pada Isnin manakala Terengganu, Pahang serta Sabah (bahagian Sandakan dan Tawau) diramalkan cuaca yang sama pada keesokannya,” tambahnya.
Sementara itu, METMalaysia menjelaskan walaupun hujan diramalkan di beberapa negeri, namun setakat ini tidak mengeluarkan sebarang amaran waspada mahupun ribut berbahaya dalam tempoh beberapa hari ini.
“Malaysia kini berada dalam fasa Monsun Peralihan yang dijangka berterusan sehingga Mei sebelum memasuki Monsun Barat Daya.
“Fasa peralihan ini dicirikan dengan hujan lebat berserta ribut petir pada waktu petang hingga awal malam, terutama di kawasan barat Semenanjung, pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Hujan lebat serta angin kencang akan berlaku di mana-mana kawasan yang terlibat pada waktu petang tetapi hanya bersifat sementara,” katanya.
METMalaysia turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri atau melakukan aktiviti luar dinasihatkan merancang pergerakan dengan baik serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini di laman web rasmi iaitu https://www.met.gov.my. – MalaysiaGazette