Bangunan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 09 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menghantar satu Pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) yang terdiri daripada 50 anggota ke Yangon, Myanmar esok.

Penghantaran ini merangkumi seorang KomanderKontinjen dan 49 anggota penyelamat bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan dan bencana.

Kementerian Luar Negeri berkata, penghantaran bersepadu ini manganin rancangan awal untuk mengerahkan dua pasukan secara berperingkat, susulan kemas kini operasi terkini daripada pihak Nadma.

Menerusi misi ini, Malaysia berhasrat untuk memaksimumkan impak dan keberkesanan bantuan yang disalurkan, serta memastikan sumber diagihkan dengan segera ke kawasan keutamaan yang telah dikenal pasti.

Menurutnya, keputusan untuk menghulurkan bantuan ini diambil susulan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China, yang telah mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kemusnahan besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesej yang dikongsikan pada 28 Mac 2025 menzahirkan rasa dukacita terhadap skala kemusnahan tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka.

Beliau turut menegaskan solidariti Malaysia bersama negara-negara jiran ASEAN dan menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyokong segala usaha bantuan dan pemulihan.

Manakala Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengulangi komitmen ini, sambil menegaskan ASEAN bersedia untuk membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana, selaras dengan keutamaan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.

Beliau turut menyatakan  Negara-Negara Anggota ASEAN akan berkoordinasi secara rapat melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan.

Kementerian Luar Negeri sedang menyelaras segala keperluan visa dan logistik bagi misi ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Yangon juga akan memberi sokongan kepada operasi pasukan tersebut semasa mereka di Myanmar, termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan.

Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap kerjasama serantau dan akan terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di seluruh ASEAN.

Dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia berdiri teguh bersama semua komuniti yang terjejas dalam tempoh pemulihan ini, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here