KUALA LUMPUR – Pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan dalam mod berhati -hati minggu depan menjelang tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang akan berkuatkuasa menjelang 2 April.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, emas mungkin diniagakan dengan kecenderungan menaik antara AS$$3,050 satu auns troy hingga AS$3,100 satu auns troy.
“Dengan penguatkuasaan tarif pada 2 April ini, langkah emas seterusnya akan bergantung pada paras agresif tarif timbal balik dan jumlah keseluruhan ekonomi yang terjejas.
“Jika keadaan mula tidak terkawal, AS$3,100 satu auns troy boleh menjadi tidak relevan. Walaupun tarif dikurangkan, peniaga akan berpatah balik pada kesan kedua iaitu pertumbuhan global yang lebih perlahan dan inflasi, kedua-dua cabaran ini baik untuk emas,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan emas akan turun ke paras AS$3,050 satu auns troy untuk memacu minat membeli yang mantap memandangkan spekulator logam itu sedang bersedia bagi peluang seterusnya untuk bergerak.
“Wall Street turut melihat peluang ini, dengan bank-bank utama kini sedang mendorong sasaran emas mereka kepada AS$3,300 hingga AS$3,500 setiap auns troy untuk 2025,” katanya.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Mac 2025 menokok kepada AS$3,070.40 satu auns troy berbanding AS$3,034.20 satu auns troy auns sebelum ini, manakala April 2025 naik kepada AS$3,080.20 satu auns troy daripada AS$3,044.10 satu auns troy.
Sementara itu, kontrak Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 mencatatkan penambahan kepada AS$3,090.20 satu auns troy auns daripadaAS$3,054.10 satu auns troy.
Jumlah dagangan melonjak kepada 226 lot berbanding 123 lot yang disaksikan pada minggu lepas, manakala, kepentingan terbuka menurun kepada 78 kontrak daripada 87 kontrak sebelum ini.
Berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 27 Mac, emas fizikal berharga AS$3,056.55 satu auns troy. – BERNAMA