KUALA LUMPUR – Meskipun undang-undang perlu ditegakkan, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh menggunakan pendekatan yang lebih berhemah dan berempati terutamanya dalam suasana bulan Ramadan yang mengutamakan nilai kemanusiaan dan ihsan.
Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad tidak menafikan sebarang aktiviti perniagaan tanpa lesen perlu ditangani, tetapi cara penguatkuasaan juga mesti mencerminkan adab dan kesopanan
Tambah beliau, adalah tidak wajar memperlakukan seseorang sedemikian rupa hanya kerana mereka mencari rezeki halal dengan menjual belon, apatah lagi ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Walaupun DBKL masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian ini, kita tidak seharusnya membuat kesimpulan melulu.
“Namun begitu, video tersebut sudah cukup jelas menunjukkan situasi yang berlaku, dan adalah tidak adil untuk melayan peniaga kecil dengan kekasaran sebegitu,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan tugas penguatkuasaan bukan sekadar melaksanakan undang-undang secara tegas tetapi juga perlu dilaksanakan dengan profesionalisme dan sikap berperikemanusiaan.
“Pihak berkuasa perlu lebih peka dengan keadaan masyarakat, terutamanya ketika bulan mulia ini. Jangan hilang perikemanusiaan hanya kerana ada sedikit kuasa yang diberikan.
“Gunakan budi bicara, bukan kekerasan. Jika peniaga itu melanggar peraturan, tegur dan nasihati dengan cara yang lebih baik. Jangan sampai tindakan kita mencemarkan nama baik agensi dan kerajaan,” tegasnya.
Berdasarkan dua rakaman video yang tular di media sosial sejak awal pagi tadi, menunjukkan aksi tolak-menolak antara pegawai penguat kuasa DBKL berpakaian seragam dan kumpulan peniaga.
Difahamkan, kekecohan mula berlaku selepas pihak berkuasa mengambil tindakan merampas barang jualan daripada beberapa individu termasuk penjual belon.
Ketika rampasan hendak dilakukan, penjual terbabit enggan menyerahkan puluhan belon yang dibawanya sebelum berlaku pergelutan.
Pada masa sama, beberapa individu lain yang dipercayai peniaga tanpa lesen turut menjerit supaya pihak berkuasa tidak mengasari penjual belon itu, namun keadaan menjadi semakin tegang. – MalaysiaGazette
Tindakan penguat kuasa DBKL terhadap penjaja belon keji – Kamil Munim