KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka terus berada dalam jajaran kecil dengan trajektori yang sama iaitu antara RM4.42 hingga RM4.43 berbanding dolar AS minggu depan disebabkan minggu dagangan yang pendek berikutan cuti umum Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada Isnin, 31 Mac.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan utama untuk minggu depan adalah terhadap tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang dijangka dikuatkuasakan pada 2 April.
“Data mengenai pasaran buruh AS seperti tinjauan pembukaan pekerjaan dan pusing ganti buruh (JOLTS), perubahan pekerjaan pemprosesan data automatik (ADP) dan gaji bukan pertanian (NFP) juga akan diumumkan.
“Kami berpendapat data yang dikeluarkan itu tidak akan mengubah pandangan Rizab Persekutuan memandangkan pasaran buruh telah kukuh,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, kebimbangan utama ialah dasar tarif dan kesan seterusnya terhadap inflasi dan penggunaan.
“Setakat ini, sentimen perniagaan dan pengguna telah melemah, menunjukkan bahawa perbelanjaan dan pelaburan akan lebih berhati-hati pada masa hadapan. Sehubungan itu, peniaga dan pelabur akan terus berhati-hati dalam jangka masa terdekat,” tambahnya.
Ringgit mengakhiri minggu dagangan pada 4.4330/4355 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada 4.4180/4220 yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang itu diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9438/9456 daripada 2.9574/9602 pada minggu lepas, naik berbanding euro kepada 4.7761/7788 daripada 4.7843/7886, tetapi jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7407/7440 daripada 5.7151/7203 sebelumnya.
Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ia menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3040/3061 daripada 3.3081/3114, menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0390/0533 daripada 13.0436/0608, tetapi jatuh berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.73 daripada 7.70/7.71.
Bagaimanapun, ringgit ditutup hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 267.7/267.9 daripada 267.7/268.0 pada minggu lepas. – BERNAMA