KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menggesa seluruh rakyat Malaysia agar terus memelihara perpaduan dan keharmonian negara dengan penuh tanggungjawab.
Dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan melalui kenyataan Istana Negara, baginda menekankan bahawa perpaduan adalah asas penting bagi sebuah negara yang perlu dipupuk serta diwariskan kepada generasi akan datang.
“Setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira agama atau latar belakang, mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjaga perpaduan ini.
“Lima prinsip Rukun Negara harus sentiasa tersemat dalam hati setiap individu,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa dalam usaha membina kebersamaan yang tulus dan harmoni, tindakan tegas mesti diambil bagi menghapuskan sebarang unsur yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.
Menurut baginda, perpaduan bukan sesuatu yang bersifat sementara, sebaliknya ia perlu diperkukuhkan secara berterusan melalui pendidikan, kesedaran, dan penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa rakyat.
Baginda juga mengingatkan bahawa perpaduan tidak boleh sekadar bersifat luaran, tetapi harus diperkukuhkan dengan kefahaman yang lebih mendalam, terutama dalam menghadapi situasi yang boleh mencetuskan pergeseran akibat kejahilan atau salah faham.
Baginda berharap pesanan ini diambil serius oleh kerajaan dan rakyat, kerana perpaduan adalah tunjang kepada kestabilan serta kemakmuran negara.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang bertugas demi negara pada hari yang penuh bermakna ini, mengakui jasa dan pengorbanan mereka.
Baginda mendoakan agar mereka dikurniakan keberkatan serta diberikan kekuatan untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia serta memohon maaf zahir dan batin.
“Saya dan isteri mendoakan agar rakyat dan negara kita sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah, insya-Allah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” titah baginda. – MalaysiaGazette