Gambar hiasan

 

SEPERTI menabung sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit, begitu jugalah yang boleh berlaku dalam berhutang.

Tanpa kawalan dalam berbelanja, apabila lebih banyak menuruti kehendak berbanding keperluan, maka boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke dalam bebanan hutang yang tinggi.

Lebih parah apabila hutang itu pula lebih tinggi daripada pendapatan bulanan, menyebabkan seseorang itu terpaksa membuat hutang baharu untuk menutup hutang lama, atau yang sering disebut orang ibarat `gali lubang tutup lubang’.

Apabila sampai ke satu tahap yang mana `lubang hutang’ tidak lagi mampu ditutup, maka jalan terakhir adalah diisytiharkan bankrap, satu situasi yang bakal merubah sepenuhnya kehidupan dan menyebabkan masa depan menjadi lebih sukar.

Ini adalah gambaran yang boleh berlaku sekiranya seseorang mengambil mudah dalam berhutang termasuk dalam budaya berbelanja terkini iaitu beli sekarang bayar kemudian (buy now, pay later) atau BNPL.

Trend baharu berbelanja ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna apabila data Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2024 (ST2 2024) menunjukkan sebanyak RM2.8 bilion jumlah hutang isi rumah direkodkan daripada BNPL setakat Disember 2024.

Tinjauan sama merekodkan jumlah pembelian menerusi BNPL juga menunjukkan peningkatan dari segi jumlah transaksi dan nilai, masing-masing kepada 83.8 juta transaksi dan RM7.1 bilion pada tempoh tersebut.

Trend BNPL Pantas Berkembang

Kesemua nilai itu disumbangkan oleh pengguna aktif BNPL yang setakat akhir Disember lalu mencecah 5.1 juta orang berbanding 4.3 juta orang pada Jun 2024. Lalu, mengapa trend BNPL ini dengan pantas berkembang dan menarik begitu ramai pengguna meskipun hanya diperkenalkan kurang tiga tahun kebekalangan ini?

Jawapannya sudah pasti kerana tawaran pinjaman begitu mudah dan pantas yang ditawarkan oleh platform-platform perniagaan online (e-dagang) dan diberikan tanpa kadar faedah.

Selain itu, tempoh bayaran balik pula boleh dilanjutkan sehingga sembilan bulan atau setahun, dengan tawaran pembelian yang tidak hanya terhad kepada barangan, malah kepada perkhidmatan seperti insurans, kesihatan dan sebagainya.

Pengguna juga boleh terus berbelanja dan secara bebas memilih apa sahaja kehendak atau keperluan mereka semudah satu `klik’ di plafrom e-dagang tanpa ada sebarang syarat atau sekatan.

Malah, bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap sekali pun, sebagai contoh pelajar atau penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) boleh berbelanja secara BNPL menggunakan akaun ibu bapa atau penjaga mereka.

Disebabkan itu, Ketua Pendidikan Kewangan Sektor Isi Rumah, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), S. Nirmala menyifatkan, BNPL sebenarnya boleh diibaratkan sebagai perangkap senyap yang boleh membawa kepada krisis kewangan sangat membimbangkan.

Katanya, dengan pelbagai platform e-dagang kini masing-masing memperkenalkan kemudahan BNPL, pengguna juga mempunyai banyak pilihan untuk menambah hutang.

Walaupun dalam jumlah yang kecil, jelas beliau, namun aktiviti BNPL di platform berbeza itu jika ditambah, boleh menyebabkan seseorang menanggung jumlah hutang yang tinggi setiap bulan.

Pinjaman Jadi Perangkap

Ia katanya, tidak termasuk dengan hutang atau komitmen di luar BNPL seperti pinjaman peribadi, kereta, rumah atau kad kredit yang mungkin boleh menyebabkan seseorang menanggung hutang melebihi kemampuan bulanan mereka.

“Sebab kebiasaannya komitmen BNPL ini adalah kepada perkara-perkara yang merupakan kehendak, jadi apabila pinjaman dibuat untuk memenuhi kehendak, maka itu adalah satu perangkap.

“Ia akan membuatkan seseorang itu tidak sedar berapa banyak pinjaman sudah dibuat dan cenderung membeli barang-barang yang mahal kerana boleh bayar secara ansurans dan kitaran ini berulang sehingga akhirnya menjadi masalah kewangan yang serius,” beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program podcast MalaysiaGazette yang bertajuk ‘Beli Dulu Bayar Kemudian Jerat Hutang Semakin Membimbangkan’ di studio MalaysiaGazette di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Podcast yang dihoskan wartawan MalaysiaGazette, Rosnani Nasir itu turut menampilkan seorang lagi ahli panel iaitu Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd Shukor Harun.

Sementara itu, Mohd Shukor berkata, BNPL sekiranya tidak dikawal boleh menyebabkan majoriti rakyat terus hidup dalam keberhutangan yang boleh menjejaskan kesihatan mental serta memberi kesan kepada keluarga.

Apatah lagi, ujar beliau, daripada lebih lima juta pengguna BNPL ketika ini, majoriti mereka adalah daripada B40 dan M40.

“Kumpulan B40 ini juga mempunyai pelbagai alasan untuk berbelanja dan tabiat itu kini menjadi lebih mudah dengan adanya BNPL sedangkan kesannya akan ditanggung mungkin dalam tempoh empat hingga lima tahun atau 10 tahun dari sekarang,” katanya.

Garis Panduan Lindung Pengguna

Apa yang lebih membimbangkan juga adalah hakikat BNPL ini hakikatnya tidak dikawal oleh mana-mana garis panduan yang boleh memberi perlindungan kepada pengguna, pihak ketiga atau platform e-dagang.

Disebabkan itu, pewartaan Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 yang dijangka dibuat hujung akhir tahun ini adalah satu langkah atau dasar yang ditunggu.

Seperti ditekankan Nirmala, RUU itu kelak sekurang-kurangnya akan menyediakan garis panduan jelas khususnya kepada orang ramai dalam menikmati kemudahan BNPL.

Kegusaran utama, kata beliau, tanpa garis panduan khusus, BNPL boleh menjadi seperti syarikat pemberi wang berlesen, manakala orang ramai pula semakin ghairah berbelanja tanpa kawalan.

“Kebaikan kepada pengguna juga, sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul sepanjang menggunakan BNPL, sekurang-kurangnya ada pihak yang boleh mereka buat aduan dan ada garis panduan yang boleh dirujuk,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shukor berpendapat, RUU tersebut perlu mewajibkan supaya pinjaman BNPL dimasukkan dalam rekod pinjaman pengguna seperti ke dalam sistem CCRIS dan CTOS.

Jelas beliau, perkara itu bagi membolehkan orang ramai merujuk kepada jumlah komitmen atau pinjaman sedia ada mereka, sekali gus mengelak untuk menggunakan kemudahan BNPL secara tidak terkawal yang boleh menyebabkan mereka terbeban dari segi kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here