Pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak bomba di lokasi kemalangan berhampiran Klinik Kesihatan Telupid, Beluran. Ihsan Foto : Bomba

TELUPID – Perjalanan pulang tujuh sekeluarga dari Labuan ke Semporna bagi menyambut Syawal bertukar tragedi apabila dua mangsa termasuk seorang bayi lelaki maut selepas kenderaan dinaiki terbabas di bahu jalan berhampiran Klinik Kesihatan Telupid, Sandakan, Sabah hari ini.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 6 pagi itu mengorbankan bayi berusia enam bulan serta ibunya yang identiti masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, lima ahli keluarga lain mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, keluarga tersebut dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum insiden malang itu berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.28 pagi dan segera mengerahkan enam anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 100 kilometer dari BBP Beluran.

“Kemalangan ini melibatkan sebuah kereta Proton Saga FLX yang dinaiki tujuh individu terdiri daripada empat dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi.

“Enam mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, seorang lagi mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia termasuk bayi manakala lima yang lain mengalami kecederaan ringan. Maklumat lengkap mengenai kesemua mangsa masih belum diperoleh,” katanya.

Operasi penyelamatan ditamatkan pada pukul 8.30 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat daripada sebarang risiko bahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here