Datin Nurhieda Qasim memasak sendiri sendiri menu ikan bilis goreng berlada petai campur kentang dalam Program Moh Sahur DUN Pelangai pada Ramadan kali ini

BENTONG – Isteri wakil rakyat mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam menzahirkan sokongan kepada kepimpinan suami dalam setiap kawasan.

Bagi Datin Nurhieda Qasim, memasak sendiri juadah sahur bagi keluarga terpilih di DUN Pelangai adalah sumbangan dan lambang kasih kepada rakyat Pelangai.

Menurut Nurhieda,  beliau memilih menu yang bersesuaian dan mengenyangkan bagi bersahur sebagai tanda sokongan kepada program yang mendapat kerjasama bersama suaminya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.

”Menu ikan bilis goreng berlada petai campur kentang sangat istimewa dan memenuhi cita rasa tempatan kerana guna resepi asli dari Negeri Sembilan. Ia dibekal dalam mangkuk tingkat yang menjadi tradisi di sini.

“Saya memang suka memasak dan menjamu makan. Kalau masakan ini dibuat di negeri lain, belum tentu rasanya sama seperti di Pahang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Isteri kepada Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang itu memasak dari petang supaya makanan dihidang terjamin kualiti dan dapat dihidang ketika bersahur tepat pada waktunya.

Lebih menarik kata Nurhieda, penerima yang dipilih sendiri olehnya merupakan golongan yang belum pernah menerima bantuan sebelum ini.

Idea menyediakan menu sahur sempena Program Moh Sahur DUN Pelangai tercetus apabila merasakan program berbuka puasa lebih lazim dilakukan sebelum ini.

”Para penerima bantuan menyatakan rasa terharu dengan inisiatif sahur ini kerana kebanyakan mereka tidak menyangka akan menerima sumbangan makanan sahur.

”Kita menyantuni sendiri penerima juadah sahur ini dan mereka juga gembira kerana terpilih menerima bantuan bakul makanan, insya-Allah akan diteruskan lagi pada tahun hadapan,” katanya.

Program Moh Sahur DUN Pelangai memberi manfaat kepada 30 keluarga di Felda Chemomoi di sini dengan menyajikan  juadah lauk yang dibekalkan dalam mangkuk tingkat kepada penerima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here