Keadaan peniaga belon dengan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan TAR malam Jumaat lalu yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam menyarankan anggota penguat kuasa kerajaan perlu menjalani kursus jika tidak tahu cara atau kaedah mengendalikan individu yang tidak mengendahkan teguran mereka.

Bukan dengan bergumpal dengan individu tersebut, kata peguam. Shamsuddin Nawawi dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, anggota penguat kuasa juga perlu melihat kuasa yang diberikan kepada mereka dan paling penting kakitangan tersebut perlu mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan terhadap agensi masing-masing.

Katanya, kalau anggota penguat kuasa itu ada kuasa menangkap barulah boleh hendak digumpal atau wrestling (tinju) individu tersebut, itu pun kalau dia melawan atau menentang penangkapannya.

“Kalau kuasa menangkap pun tak ada, kamu cari sakitlah bergumpal dengan orang. Ingat satu benda sahaja. Kamu ada kuasa atau tak?

Kalau ada, tangkaplah. Menangkap ayam pun kena berkasar inikan pulak orang. Kalau tak berkasar nak tangkap apanya kan?” soalnya.

Namun, menurut Shamsuddin, jika agensi penguat kuasa itu tidak ada kuasa menangkap, lebih baik jangan tunjuk hero bergumpal dengan orang.

Dalam pada itu, mengulas laporan polis yang dibuat oleh anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terhadap insiden membabitkan mereka dengan ‘Abang Belon’ di Jalan Tunku Abdul Rahman malam kelmarin, Shamsuddin berkata; “Pengadu ini kalau disoal balas di mahkamah …masak”.

Soalnya, takkan lalu di kawasan berkenaan pun kena gusti bergumpal.

“Apa pun kena kursus lagi penguat kuasa ini…,” ujarnya.

Berdasarkan laman sesawang DBKL, fungsi jabatan penguatkuasaannya adalah seperti berikut:

1. Mengawal dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan-kesalahan lalulintas, tempat letak kereta elektronik, penjaga kereta tanpa kebenaran, ingkar menggunakan jejantas dan halangan/pelanggaran isyarat lalu lintas.
2. Mengawal dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan kekotoran di tempat awam, jalan awam, tapak pembinaan dan Kawasan Perumahan Awam DBKL.
3. Mengawal dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan halangan di tempat awam dan jalan awam.
4. Mengawal dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan aktiviti penjajaan iaitu penjaja berlesen, penjaja tanpa lessen, penjaja warga asing dan pembinaan struktur perniagaan tanpa kebenaran.
5. Mengambil tidakan penguatkuasaan fizikal ke atas kesalahan iklan tanpa kebenaran, premis tidak berlesen, aktiviti tidak berlesen dan melanggar isyarat.
6. Mengawal dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan vandalisme dan iklan tanpa kebenaran di tempat awam.
7. Mengawal dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan vandalisme di taman-taman awam, Dataran Merdeka dan perumahan awam DBKL.
8. Mengambil tindakan penguatkuasaan fizikal terhadap kesalahan perancangan dan pelanggaran syarat kelulusan perintah pembangunan.
9. Mengambil tindakan penguatkuasaan fizikal terhadap kesalahan kacau ganggu pembinaan terhadap orang awam dan kerja-kerja lebih masa.
10. Menyediakan bantuan menyelamat semasa bencana dan bertindak sebagai secretariat kepada bilik gerakan bantuan bencana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
11. Menyediakan kawalan keselamatan fizikal terhadap harta benda Datuk Bandar Kuala Lumpur – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here