JOHOR BAHRU- Kerja-kerja pembaikan paip pecah di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran Taman Daya di sini sedang giat dijalankan, dengan tumpuan diberikan kepada penyelesaian segera bagi mengelakkan gangguan bekalan air berpanjangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, jumlah akaun yang terjejas akibat gangguan bekalan air telah berkurangan daripada 69,000 kepada 20,000 selepas tindakan segera diambil.
Pasukan teknikal kini sedang bekerja keras untuk membaiki puluhan paip yang mengalami kebocoran, termasuk paip utama berdiameter 1200mm (milimeter) yang mengalami kebocoran sepanjang 600mm.
“Kami memahami kesulitan yang dihadapi penduduk, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri esok.
“Justeru, kerja pembaikan dilakukan secara berterusan bagi memastikan pemulihan bekalan dalam tempoh secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, pengguna yang mempunyai tangki simpanan air di rumah dijangka boleh bertahan antara 48 hingga 72 jam namun penggunaan tinggi ketika musim perayaan menyebabkan simpanan cepat berkurangan.
“Kami menasihatkan penduduk agar berjimat cermat dalam penggunaan air dan menyimpan bekalan secukupnya sementara menunggu kerja baik pulih selesai,” katanya lagi.
Sementara itu, jurucakap Ranhill SAJ memaklumkan kerja-kerja baik pulih paip yang bocor di lebuh raya Pasir Gudang berhampiran Taman Daya sedang giat dijalankan.
Jelasnya, kerja baik pulih dijalankan khusus bagi mengepam air keluar dari kawasan paip yang bocor. Dua jentera pengepam berkapasiti tinggi terbabit dalam kerja-kerja terbabit.
“Pelanggan disaran menggunakan air secara berhemah bagi menghadapi situasi luar jangkaan ini.
“Pelanggan yang masih mempunyai akses bekalan air dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya
“Pengguna di kawasan terjejas disarankan untuk terus menghubungi saluran rasmi berkaitan gangguan bekalan air menerusi saluran rasmi aduan Ranhill SAJ di talian 1800-88-7474,” katanya menerusi hebahan dalam Facebook.
Lima kawasan di sekitar bandar raya ini mengalami gangguan bekalan air tidak terancang akibat paip pecah.
Ia termasuk keseluruhan Taman Johor Jaya, Taman Ehsan Jaya, Desa Jaya, keseluruhan kawasan industri Mount Austin, Tebrau 1 hingga 4 dan keseluruhan Taman Delima 1.- MalaysiaGazette