Majlis pelepasan 50 orang pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bertolak ke Yangon, Myanmar bagi menyertai misi bantuan kemanusiaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan gempa bumi yang menggegarkan negara itu di Pangkalan Udara Subang, Tentera Udara Diraja Malaysia, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 30 MAC 2025.

SUBANG – Demi tugas dan kepentingan negara sekaligus membantu Myanmar yang kini berdepan musibah susulan gempa bumi – Koperal penyelamat, Nik Mohd Farihan Nik Zawawi, 38, rela melupakan hasrat untuk menyambut 1 Syawal brsama keluarga esok.

Salah seorang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, tugas dan tanggungjawab perlu diutamakan meskipun perasaan ingin berada di sisi keluarga di Aidilfitri membuak-buak.

Koperal Nik Mohd Farihan Nik Zawawi.

“Kami ketepikan dulu perasan untuk beraya sebab kami berkhidmat untuk negara dan perlu menolong orang yang susah,” katanya  sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar bagi misi bantuan kemanusiaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sini hari ini.

Tambahnya, sebagai anggota pasukan mencari dan menyelamat, beliau dan anggota lain dilatih untuk sentiasa bersedia berdepan dengan keadaan yang tidak menentu termasuk operasi mengejut.

“Ketika menerima panggilan telefon semalam, saya dan keluarga sudah rancang untuk pulang ke kampung halaman, tiba-tiba mendapat panggilan untuk siap sedia ke misi ini akibat gempa bumi di Myanmar.

“(Tapi) Kami sudah dilatih apabila dipanggil operasi di luar negara kami kena siap sedia untuk digerakkan (bila-bila masa),” ujar ayah kepada tiga cahaya mata itu.

Selain itu, semangat seorang lagi ahli SMART yang menyertai misi itu dilihat tidak luntur dek kerana terpaksa meninggalkan keluarga sehari sebelum Aidilfitri.

Menurut Koperal Idris Hassan, 42, beliau beruntung kerana dikurniakan isteri dah ahli keluarga yang memahami tugasnya yang tidak menentu.

Koperal Idris Hassan. Foto HARI ANGGARA, 30 MAC 2025.

“Semalam saya terpaksa bergegas kembali ke markas SMART dalam masa satu jam. Kalau operasi kita memang kena pergi walaupun dalam keadaan bercuti atau hendak bercuti. Ketika menerima panggilan, saya sedang bersiap-siap untuk pulang ke kampung di Tanah Merah, Kelantan.

“Ahli keluarga termasuk isteri memang sudah faham keadaan tugas saya mereka faham kerja saya,” katanya.

Jelas beliau, ada masa yang memerlukan anggota SMART sepertinya mendahulukan tugas sebaliknya, akan ada suatu ketika pula mendahulukan kepentingan keluarga.

“Ada perkara yang kita kena letakkan kepentingan negara di hadapan dan suatu masa kepentingan keluarga juga kita kena ambil kira. Jadi untuk situasi ini saya meletakkan kepentingan negara di hadapan dan kepentingan keluarga di tempat kedua.

“Sebelum ini misi ke Turki saya tidak dapat sertai sebab masa itu isteri sakit. Jadi saya terpaksa tolak sebab itu penting pada masa itu sekarang isteri sihat jadi bolehlah saya sertai misi kali ini,” tambahnya.

Tidak menolak ahli keluarganya bimbang keselamatannya di Myanmar sepanjang operasi itu, namun Idris memberikan keyakinan agar mereka sentiasa berfikiran positif dan mendoakan keselamatannya sehingga  kembali ke tanah air selepas lebih kurang dua minggu kelak.

“Bagi saya, semua ahli keluarga mesti bimbang bila anggota macam kami perlu sertai misi sebegini sebab kita pergi bukan tempat yang selamat tetapi tempat yang melanda musibah jadi mesti mereka akan rasa tidak tenteram.

“Tapi kita sendiri kena kuat semangat dan beritahu keluarga jangan bimbang,”  katanya.

Menjadi satu-satunya anggota SMART wanita dalam misi bantuan kemanusiaan dan SAR ke Myanmar kali ini, Avlyania Moidi, 28 berkata, pengalaman pertama menyertai operasi ke luar negara itu sudah tentu pengalaman yang berharga buatnya.

Bagaimanapun dalam masa yang sama pelbagai perasaan yang terbit kerana terpaksa meninggalkan anaknya yang baru berusia dua tahun.

Namun kerana telah dilatih untuk sentiasa bersedia, Avlyania tidak mudah hanyut dengan perasaannya demi tugas yang perlu digalas untuk membantu Myanmar.

“Sebagai manusia biasa, mesti perasaan akan bercampur baur bila kena sertai misi begini, selain gemuruh, takut juga ada tapi kita sudah dilatih untuk beradaptasi dengan apa juga keadaan kerana sudah diberi tanggungjawab untuk mengatasi ketidaktentuan sebegini.

“Untuk seorang yang bergelar ibu sudah tentu berat hati meninggalkan keluarga dan anak tetapi disebabkan tanggungjawab yang digalas saya perlu hadapi,” katanya.

Beliau juga yakin seluruh anggota yang telah dilatih akan dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaiknya kali ini.

Sebagai rekod, seramai 50 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Yangon, Myanmar bagi misi bantuan kemanusiaan dan SAR susulan gempa bumi yang menggegarkan negara itu pada Jumaat lalu.

Pasukan berkenaan dibawa dengan menaiki dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dijangkakan mereka akan berada di sana selama tujuh hingga 14 hari.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Misi bantuan dan SAR SMART di Myanmar tujuh hingga 14 hari – Zahid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here