JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menyantuni 60 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Ulu Pandan di sini baru-baru ini dengan menghulurkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri.
Program kebajikan itu disempurnakan Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Dr Kevy Yeo bersama-sama beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang menyatakan sokongan dan solidariti terhadap mangsa bencana.
Antara yang hadir Presiden Muslim Friendly Watch, Noorman Kamsani; Presiden Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia, Danny Teh Thiam Fatt dan Setiausaha Agung Pertubuhan Pengguna Sedunia, Prof Jericho Tang Kit Wai.
Kevy Yeo merakamkan penghargaan kepada NGO terbabit dan kerjasama berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan.
“Ini juga mengukuhkan jaringan kerjasama antara badan-badan bukan kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang terkesan.
“MTPN memahami kesan mendalam yang dihadapi mangsa banjir, bukan sahaja daripada segi kehilangan harta benda tetapi juga cabaran ekonomi yang boleh mengganggu kehidupan seharian.
“Hari raya sepatutnya menjadi saat kegembiraan bagi semua, namun bagi mereka yang terjejas akibat banjir, ini mungkin menjadi satu cabaran besar,” katanya selepas menyerahkan bantuan tersebut hari ini.
Beliau berkata, menerusi bantuan kewangan itu, pihaknya berharap dapat membantu mereka bangkit semula dan menyambut Syawal dengan lebih ceria.
Selain penyerahan sumbangan program itu memberi ruang kepada wakil-wakil NGO dan pertubuhan pengguna antarabangsa untuk bertemu dan berinteraksi dengan penduduk setempat bagi memahami cabaran yang mereka hadapi.
“Perbincangan lanjut juga dilakukan bagi mengenal pasti bentuk bantuan lain yang boleh disalurkan dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Pasa masa sama, katanya, MTPN menyeru lebih banyak pihak termasuk sektor korporat dan dermawan untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan hak dan kebajikan pengguna, MTPN akan terus memainkan peranan aktif dalam membantu masyarakat yang ditimpa kesusahan serta memastikan kebajikan pengguna sentiasa terpelihara,” tambahnya.- MalaysiaGazette