Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin bercakap ketika ditemubual mengenai situasi terkini Muhammad Za'imuddin Azlan atau dikenali sebagai 'Abang Belon' yang mendakwa dikasari penguatkuasa DBKL, di Hospital Serdang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 MAC 2025

SERDANG – Penjaja belon yang didakwa dikasari penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hingga tular di media sosial akan diberikan bantuan mendapatkan lesen perniagaan selepas pulih kelak.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, pihaknya juga akan menghulurkan bantuan berbentuk sokongan dan bimbingan kepada lelaki berusia 29 tahun demi menyara keluarganya.

“Kita sudah beri jaminan kepada dia selepas pulih boleh berjumpa terus dengan saya untuk kita beri bantuan kepadanya bagi mendapatkan lesen berniaga.

“Ini kerana kebanyakkan mereka (peniaga rambo) ada yang tidak tahu cara untuk memohon secara online sebab itu kita perlu bekerjasama dengan persatuan penjaja.

“Ia termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) dan DBKL, bagi memudahkan mereka mendapatkan lesen dan mestilah (menjaja) di kawasan bersesuaian,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah, di sini hari ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin bercakap ketika ditemubual mengenai situasi terkini Muhammad Za’imuddin Azlan atau dikenali sebagai ‘Abang Belon’ yang mendakwa dikasari penguatkuasa DBKL, di Hospital Serdang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 MAC 2025

Terdahulu, beliau yang merangkap Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri hadir melawat penjaja belon dikenali sebagai Muhammad Za’imuddin Azlan selama hampir 20 minit.

Katanya, kehadiran beliau bersama pasukannya bagi menyampaikan salam dan amanat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin terhadap insiden tersebut.

“Kita ada juga beri sumbangan kepada dia (penjaja belon) dan Perdana Menteri bersama isterinya ada meminta agar dia bersabar, berehat dan pulih sepenuhnya dari kecederaan dialami,” jelasnya.

Pada masa sama, Azman berharap perkara seumpama itu tidak lagi berulang walaupun pihak DBKL mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan tanggungjawab pemantauan di kawasan sekitar.

Malah beliau meminta kedua-dua pihak dapat bekerjasama dan orang ramai diminta menunggu sebarang perkembangan daripada siasatan pihak polis.

Pada Jumaat lalu, tular video berdurasi satu minit 42 saat di media sosial memaparkan kekecohan antara penjaja belon tidak berlesen dan anggota penguat kuasa DBKL.

Ia berlaku ketika proses penyitaan barangan di tepi jalan berkenaan dan berlaku pergelutan antara kedua-duanya selain beberapa penjaja lain yang turut membuat provokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast