Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam rusuhan dan kerosakan kenderaan di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, laporan polis mengenai insiden itu dibuat seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa diserang pada pukul 6.30 petang kelmarin di hadapan sebuah pangsapuri, di sini.

“Mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Alza bersama abang dan kakaknya telah ditahan oleh sekumpulan lelaki. Apabila mangsa keluar dari kenderaan, dia dipukul menggunakan tangan, kaki, dan topi keledar.

“Selain itu, salah seorang suspek turut menghempas kerusi ke arah kenderaan milik kakak mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap empat suspek pada Sabtu dan Ahad di sekitar Tampoi, di sini.

Jelasnya, semakan rekod jenayah mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau, manakala dua lagi tidak mempunyai rekod kesalahan sebelum ini.

“Kesemua suspek warga tempatan itu telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini untuk permohonan tahanan reman.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian bernilai RM25 atau lebih, dengan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak bertindak di luar batas undang-undang dan menyerahkan sebarang perbalahan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu, tular video berdurasi tiga minit 21 saat memaparkan pergaduhan tersebut yang berlaku di sebuah pangsapuri di bandar raya ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here