GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan komitmen dalam memperkasakan syiar Islam menerusi pembangunan dan penyelenggaraan institusi keagamaan seiring kemajuan negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 serta Visi Penang2030 yang menitikberatkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan nilai-nilai keagamaan.

“Syiar Islam senantiasa kekal terpelihara untuk pembangunan dan penyelenggaraan masjid serta surau di seluruh negeri ini.

“Serentak itu, inisiatif memperkasa pendidikan Islam termasuk menaik taraf sekolah-sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz diteruskan dengan komitmen bahawa dalam arus kemajuan serta pengagihan kemakmuran, tiada sesiapa yang dipinggirkan selaras pembangunan negeri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menekankan kepentingan mengekalkan serta memperkukuh perpaduan dan semangat muhibah bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai negeri yang maju dan harmoni.

“Teruskan tradisi dan nilai murni dalam masyarakat termasuk amalan ziarah-menziarahi serta memelihara keharmonian sosial dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

“Syaa juga berharap agar sambutan Aidilfitri kali ini dimanfaatkan sebagai peluang untuk mengeratkan ukhuwah, bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga tetapi juga sesama rakyat yang berbilang bangsa dan agama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here