KUCHING – Tiga lelaki ditahan selepas cuba merempuh anggota polis yang menjalankan pemeriksaan di Jalan Green, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, kejadian berlaku pada jam 3.20 pagi ketika pasukan polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan sebuah Mitsubishi Triton merah dan Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan.
Ketika anggota polis cuba menahan kedua-dua kenderaan untuk pemeriksaan, pemandunya bertindak memecut melarikan diri.
“Polis mengejar kenderaan tersebut hingga ke kawasan taman perumahan berdekatan sebelum pemandu pikap secara tiba-tiba membuat pusingan U dan meluru ke arah anggota polis dalam cubaan merempuh mereka.
“Bagi mempertahankan diri, salah seorang anggota melepaskan tembakan ke arah pikap, menyebabkan kenderaan itu terbabas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Polis kemudian menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 39 hingga 41 tahun yang berada di dalam kenderaan tersebut dan merampas pikap bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.
Seorang daripada suspek, berusia 41 tahun, mengalami kecederaan akibat ditembak dan kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Keadaannya dilaporkan stabil.
“Hasil semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan narkotik, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan ketiga-tiga mereka positif dadah.
“Mereka kini direman sehingga 3 April untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” tambahnya.
Pihak polis kini giat mengesan Perodua Bezza merah yang turut terlibat dalam insiden ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Chris Olsen Ramli di talian 013-8607572.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian ini. – MalaysiaGazette