KUALA LUMPUR – Pelakon Fattah Amin tampil memberi penjelasan berhubung adegan kontroversinya dalam drama Keluarga Itu, ketika dia melakonkan babak memeluk kaki pelakon Melissa Campbell.
Dalam drama tersebut, Fattah memegang watak sebagai Ansara, manakala Melissa membawa watak isterinya, Camelia.
Menurut Fattah, adegan itu berlaku secara spontan kerana dia terlalu menghayati wataknya ketika penggambaran.
“Saya sebenarnya cuba mengelakkan aksi berlebihan, tetapi ketika melakonkan babak itu, saya berada dalam keadaan separa sedar dan terlalu mendalami watak,” katanya.
Pelakon Hero Seorang Cinderella itu mengakui menyedari reaksi pelbagai pihak terhadap adegan tersebut dan mengakui kesilapannya.
“Saya manusia biasa, dan saya sentiasa berusaha menjadi individu, Muslim, dan pelakon yang lebih baik.
“Seboleh-bolehnya saya akan cuba elakkan perkara sebegini pada masa akan datang,” jelasnya. – MalaysiaGazette