KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8.20 pagi itu diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Jemaah Menteri.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Solat sunat Aidilfitri diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.
Ini kali pertama Seri Paduka berdua menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan selepas melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17, pada 31 Januari tahun lalu.

Sementara itu, dalam khutbah bertajuk ‘Berdamai dalam Dakapan Syawal’ yang dibacakan Luqman menyeru umat Islam memanfaatkan keberkatan Aidilfitri untuk memperbaiki hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat.
Katanya, Aidilfitri juga peluang terbaik memperbaiki hubungan sesama keluarga dan umat Islam, selain perlu dijadikan medan untuk meneruskan nilai mulia dalam kehidupan seharian serta memudayakan sifat berlapang dada dan saling bermaafan.
“Syawal ini seharusnya menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh ukhuwah Islamiah dan mengerat hubungan mungkin sudah terputus. Dalam semangat Syawal, kita harus mencontohi akhlak Rasulullah SAW menangani perselisihan.
“Baginda sentiasa mengutamakan dialog, berlapang dada dan bersikap pemaaf dalam menyelesaikan konflik. Sikap ini bukan sahaja menjernihkan hubungan, tetapi menguatkan kesatuan ummah.
“Inilah asas masyarakat madani yang berdiri atas sikap hormat dan ihsan, dilatih melalui tarbiyah Ramadan. Justeru, marilah kita semua menjernihkan hati untuk saling memaafkan, saling berdamai dan menjaga antara satu sama lain,” katanya.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para jemaah.
Para jemaah juga tidak melepaskan peluang bersalaman dan beramah mesra dengan Perdana Menteri serta anggota Jemaah Menteri.
Seri Paduka berdua kemudian berangkat meninggalkan masjid pada pukul 9.20 pagi diikuti Anwar dan Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri yang lain.
Masjid Wilayah Persekutuan mula dibanjiri para jemaah seawal pukul 7 pagi dengan anggaran 10,000 jemaah yang hadir memeriahkan pagi Syawal. – MalaysiaGazette