KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melakukan reformasi besar-besaran terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) menyegerakan pilihan raya PBT ke arah pengurusan yang lebih baik.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zaid Ibrahim berkata, ia juga bagi menangani insiden kekecohan yang berlaku antara peniaga dengan anggota penguat kuasa seperti dalam kes yang mendapat perhatian ramai melibatkan peniaga belon baru-baru ini.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, penduduk setempat perlu diberi kuasa untuk memilih Ahli Majlis PBT sendiri supaya mereka dapat memahami apa yang perlu dilakukan.
“Tidakkah kita bosan dengan hujah bahawa jika pilihan raya pihak berkuasa tempatan dibenarkan, kebajikan orang Melayu akan terpinggir?
“Tidakkah kita lihat bahawa mereka yang paling terkesan akibat pengurusan yang lemah adalah orang Melayu sendiri?
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mesti melakukan lebih daripada sekadar menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pegawai penguat kuasa.
“Adakan perbincangan dengan Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Lakukan reformasi besar-besaran terhadap majlis tempatan!” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut beliau, insiden melibatkan peniaga belon, peniaga petai dan peniaga yang ditahan kerana berniaga tanpa lesen sepanjang bulan Ramadan akan terus berulang pada masa depan.
Selepas itu, katanya, pejabat Menteri Besar atau pejabat Perdana Menteri akan campur tangan dan memberikan lesen kepada peniaga yang tidak berpuas hati untuk meredakan keadaan.
“Mengapa operasi secara menyeluruh, termasuk pemberian lesen, tidak boleh diselaraskan dengan keperluan setempat?
“Mengapa campur tangan pemimpin tertinggi diperlukan dalam hal seperti ini?” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kejadian kekecohan di Jalan TAR di sini malam Jumaat lalu, susulan perselisihan antara peniaga belon dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Berdasarkan dua rakaman video yang tular di media sosial, berlaku insiden tolak menolak antara penguat kuasa DBKL dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.
Insiden itu turut menerima kencaman pelbagai pihak termasuk pemimpin yang mahu siasatan terperinci dilakukan segera. – MalaysiaGazette