KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Sumber Manusia hari ini menafikan dakwaan terdapat pelantikan individu sebagai penasihat kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Pejabat menteri dalam kenyataannya menegaskan, Steven Sim tidak pernah melantik mana-mana individu untuk memegang jawatan tersebut.
“Pejabat Menteri Sumber Manusia mengambil maklum mengenai kenyataan yang mendakwa individu tertentu Penasihat Menteri Sumber Manusia.
“Pejabat ini ingin menegaskan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai penasihat Menteri Sumber Manusia,” kata Setiausaha Akhbar, Abdul Hakim Ab Rahman.

Tambahnya, sebarang persoalan berkaitan perjawatan dalam Pejabat Menteri atau Kementerian Sumber Manusia boleh dirujuk kepada saluran rasmi kementerian.
Difahamkan kenyataan ini dikeluarkan susulan dakwaan seorang individu yang bergelar Tan Sri yang mendakwa dirinya penasihat Menteri Sumber Manusia ditahan Sabtu lepas.
Individu itu dipercayai menipu wang orang ramai sebanyak RM10 juta dengan alasan untuk diserahkan kepada polis bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette