KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan setiap operasi penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dipantau melalui rakaman kamera badan (body cam) dan laporan audit berkala.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kaedah ini bagi mengelakkan salah guna kuasa, penyalahgunaan budi bicara serta mengelak tuduhan rasuah terhadap anggota penguat kuasa.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa penguatkuasaan yang konsisten dan adil terhadap semua peniaga tanpa mengira bangsa atau status kewarganegaraan.
Jelasnya, tindakan operasi oleh PBT tidak boleh dilihat wujud pilih kasih yang mana peniaga tempatan ditekan, manakala peniaga warga asing dibiarkan berleluasa tanpa tindakan.

“MCW memahami dilema yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa yang mana jika tindakan tidak diambil, mereka akan dituduh menerima rasuah, manakala jika bertindak tegas, mereka dikritik sebagai tidak berhemah.
“Namun, perkara pokok yang harus diperbaiki ialah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih adil dan berperikemanusiaan, agar keseimbangan dapat dicapai antara penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau mengulas mengenai insiden kekecohan yang melibatkan penguat kuasa DBKL dengan peniagan belon dalam kejadian di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, Jumaat lalu.
Mengulas kejadian itu, Jais berkata, pihaknya mengakui penguatkuasaan undang-undang adalah penting untuk memastikan ketertiban dan keadilan kepada semua pihak, termasuk peniaga yang berlesen.
Namun, ujarnya, pendekatan yang digunakan mestilah selaras dengan prinsip kemanusiaan, keadilan dan kebijaksanaan.
Sehubungan itu, bagi mengelak kejadian sama berulang, beliau mencadangkan supaya anggota penguat kuasa diberikan latihan khas dalam pengurusan konflik, komunikasi efektif dan budi bicara, terutama dalam menangani peniaga kecil yang hanya mencari rezeki secara sederhana.
“Tindakan kasar dan kekerasan fizikal tidak boleh diterima dalam mana-mana keadaan dan perlu dielakkan sepenuhnya,” katanya.
Dalam masa sama, ujar beliau, DBKL boleh mempertimbangkan untuk memberikan kelonggaran sementara kepada penjaja kecil tanpa lesen sepanjang bulan Ramadan, dengan syarat mereka tidak mengganggu lalu lintas dan kebersihan.
Langkah itu, ujar beliau, akan membantu golongan berpendapatan rendah mencari rezeki secara sah, tanpa perlu berdepan risiko ditindas oleh penguat kuasa.
“MCW tidak menafikan kepentingan penguatkuasaan undang-undang, tetapi ia harus dilaksanakan dengan lebih bijaksana, beradab, dan tidak menindas golongan marhaen.
“Pihak berkuasa perlu memahami sensitiviti masyarakat terutama dalam musim perayaan serta bertindak secara profesional agar kepercayaan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan tidak terhakis,” katanya.
Tambah beliau, MCW bersedia untuk berdialog dengan DBKL dan pihak berkepentingan lain bagi merangka polisi yang lebih adil, telus dan manusiawi demi kebaikan bersama. – MalaysiaGazette