KUALA LUMPUR – Selepas hampir 24 jam, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di Myanmar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Pasukan MAS-01 itu selamat tiba dengan bantuan iringan oleh polis ke kawasan pengoperasian iaitu di daerah Sagaing.
Menurut perkongsian di laman sosial Facebook SMART hari ini, sejurus tiba, Base of Operation (BoO) didirikan dan dalam masa yang sama Kontigen Komander mengadakan mesyuarat Local Emergency Management Authorities (LEMA) yang diwakili oleh Pegawai Daerah, U Myaw Swar Maung Soe.

Terdahulu, pegawai dan anggota SMART dalam persediaan memulakan operasi SAR itu telah menjalankan aktivasi atau prapersiapan di Markas SMART melibatkan pendaftaran, semakan dokumen, pemeriksaan kesihatan dan taklimat operasi.
Operasi itu juga melibatkan pasukan sokongan daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta doktor dan paramedik dari Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pasukan MAS-01 SMART itu merupakan sebuah pasukan Heavy Urban Search and Rescue (USAR) INSARAG United Nations.
Keupayaan pasukan itu membolehkan mereka beroperasi tanpa henti di dua kawasan operasi yang berbeza dalam tempoh 14 hari tanpa sebarang bantuan dari negara yang terlibat dalam bencana.
“Pasukan ini self-sufficient (berdikari) dan pakar dalam mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan menggunakan peralatan khas, menyelamat mangsa menggunakan kaedah cutting & breaking melaksanakan shoring dan rope rescue.
“Selain itu, pasukan ini juga terdiri daripada pakar koordinasi yang berperanan dalam operasi Pasukan USAR antarabangsa.
“Mereka akan memberi sokongan di USAR Coordination dan Reception Departure Centre,” katanya.
Tambahnya, pasukan itu akan diatur gerak menggunakan dua pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Myanmar, membawa dua lori lima tan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux, serta 30 tan peralatan operasi dan Base of Operation.
Jumpa lalu, Myanmar dilanda gempa bumi kuat 7.7 pada skala Ritcher dengan angka korban kini dilaporkan mencecah lebih 1,600 orang.
Gegaran ekoran gempa itu turut dirasai di beberapa negara jiran dengan Bangkok, Thailand antara paling terjejas selain turut dirasai di China dan Laos.
Gempa bumi antara yang terbesar dalam tempoh satu abad di negara Asia Tenggara itu memusnahkan lapangan terbang, jambatan dan lebuh raya memaksa kerajaan junta Myanmar membuka pintu bagi bantuan kemanusiaan antarabangsa. – MalaysiaGazette