KUALA LUMPUR – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menumpukan usaha mengesan mangsa yang terperangkap di fasiliti kritikal seperti masjid, tokong, kuil, sekolah dan hospital di wilayah Sagaing, Myanmar.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), penugasan pertama pasukan dipecahkan kepada tiga tapak operasi dengan operasi dilakkan antara jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Laporan penduduk dianggarkan 20 orang mangsa masih terperangkap,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pergerakan ke lokasi telah diiringi pasukan polis dan melalui 10 pos pemeriksaan yang mana ia mencerminkan tahap risiko keselamatan yang tinggi di kawasan terbabit.
Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi NADMA menjelasnya, kawasan tersebut masih bergolak dan ia masih dibom tentera Myanmar.
Selain itu, terdapat risiko periuk api di sekitar Sagaing terutamanya di kuil-kuil, ujarnya.
“Gegaran susulan masih kerap berlaku antara 3.0 hingga 5.1 magnitud memberi risiko kepada runtuhan susulan bangunan yang tidak stabil, berisiko membahayaan pasukan MAS-01,” katanya.
Menurut NADMA, pasukan MAS-01 memerlukan bekalan logistik seperti petrol untuk kenderaan dan peralatan lain seperti genset.
Sementara itu, cuaca panas antara 38 hingga 41 darjah selsius menyukarkan kerja misi bantuan kemanusiaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terutama pada Waktu tengah hari. – MalaysiaGazette