KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan memuji tindakan segera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menggantung tiga penguat kuasanya yang terlibat dengan insiden kekasaran terhadap penjaja belon, baru-baru ini.
Naib Ketuanya, Muhammad Fitri Ramli berkata, tindakan itu dapat memberi ruang kepada proses siasatan dijalankan secara adil dan telus.
Jelasnya, penguatkuasaan sepatutnya dilaksanakan secara berhemah dan berperikemanusiaan meskipun didasari dengan undang-undang.
“Kami tidak menafikan keperluan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, namun kami juga menegaskan penguatkuasaan mestilah dilaksanakan dengan hemah, hikmah dan penuh rasa kemanusiaan
“Undang-undang itu berkuatkuasa bagi kedua-dua pihak,” katanya menerusi kenyataan.
Muhammad Fitri dalam masa yang sama menggesa supaya semua pihak menghentikan sebarang spekulasi luar berhubung kejadian tersebut.
Semalam, polis mengesahkan sudah menerima laporan daripada keluarga mangsa yang mendakwa dikasari penguatkuasa DBKL dalam insiden kekecohan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, sebelum ini laporan polis dibuat DBKL dan yang terbaharu adalah laporan dibuat keluarga kepada individu iaitu peniaga belon yang terlibat. – MalaysiaGazette