KUALA LUMPUR – Bertugas dalam pasukan keselamatan adalah satu ikrar harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab tatkala umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Itu antara pengorbandan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terutama petugas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah demi menjaga perairan Laut Cina Selatan.

Laskar Dua Kelas Maritim, Nabilah Aishah Tahir, 32, berkata, amat berat baginya yang pertama kali berjauhan dengan anak tersayang dalam tempoh yang agak lama setelah tujuh bulan bertugas di atas KM Tun Fatimah.
“Sebenarnya berat buat diri saya untuk tinggalkan anak dan keluarga sepanjang belayar sebab ia berbeza berbanding dulu yang kerap bersama-sama dengan mereka tapi kini demi tugasan menjaga perairan negara.
“Setiap kali berdepan dengan gelora laut yang kuat dan cuaca buruk ketika operasi, ia membuatkan saya rasa rindu pada anak tunggal saya di Pahang dan ia satu pengalaman amat berbeza,” katanya pada pemberita.
Biarpun terpaksa berada di perairan Samudera, keselamatan kru kapal amat dititik beratkan sepanjang menjalankan tugas Ops Khas Pagar Laut di musim perayaan.

Bagi Leftenan Maritim, Riduan Awang, 39, yang telah bertugas selama 14 tahun berkata, kekuatan mental dan fizikal amat penting sepanjang penugasan di perairan Laut Cina Selatan pada musim perayaan.
“Sepanjang operasi terdapat banyak cabarannya, walaupun kita sedang beroperasi di laut, kita juga sambut perayaan Aidilfitri tetapi tugas utama adalah paling penting dalam mengawal dan mengendalikan kapal.
“Kita perlu memastikan semuanya anggota dan kapal dalam keadaan selamat termasuk jenayah direntas sempadan kita dapat dielakkan serta tiada kecederaan tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Difahamkan pelayaran selama 21 hari tanpa ulang bekal juga, bukanlah sesuatu perkara yang mudah buat anggota petugas KM Tun Fatimah ketika berkhidmat di lautan.
Menurut Pegawai Laksana KM Tun Fatimah, Komander (M) Muhammad Zulkarnain Abdullah, ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk melawan perasaan kerinduan ketika bertugas.
“Sebagai manusia, kita tidak lari dari perasaan yang berbelah bahagi sama ada suka atau duka tapi kami cuba mewujudkan suasana kekeluargaan kami di dalam kapal dan memastikan anggota semua sentiasa berada bersama serta tidak ketinggalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette