GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan cadangan projek tambakan tanah di perairan berdekatan tapak pelupusan sampah Jelutong.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek ini telah ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan.
Katanya, kerja penambakan yang dicadangkan akan memberi impak buruk kepada Middle Bank, sebuah kawasan perlindungan marin yang kaya dengan biodiversiti.
“Cadangan pemulihan tapak pelupusan Jelutong melibatkan kawasan seluas 36.42 hektar (90 ekar), manakala projek tambakan pula merangkumi 28.33 hektar (70 ekar).
“SAM bersetuju bahawa tapak pelupusan sampah itu perlu ditutup secara selamat memandangkan ia menimbulkan pelbagai isu alam sekitar.
“Antara masalah utama yang dikenal pasti termasuk larut resap, gas pelupusan, bau busuk, penurunan tanah, serta risiko kebakaran yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk dan mencemarkan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, pilihan terbaik adalah menutup tapak pelupusan sampah itu dengan selamat, langkah yang sepatutnya sudah lama diambil.
Katanya, penutupan ini harus memastikan keselamatan jangka panjang kawasan tersebut melalui pengurusan larut resap, pemantauan gas, dan pemantauan pasca penutupan.
“Tiga pilihan telah dikemukakan dalam EIA, termasuk pemulihan kawasan sebagai taman rekreasi, pembangunan semula tapak yang dianggap tidak praktikal, serta penutupannya dengan pemindahan sisa buangan.
“Selepas penilaian, keputusan akhir adalah menggabungkan pembangunan taman rekreasi dengan pemulihan bahan serta kerja tanah bagi memudahkan pembangunan dalam kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, pilihan ini memerlukan tambahan tanah yang membawa kepada cadangan projek tambakan bersebelahan tapak pelupusan. EIA menyatakan bahawa tapak projek termasuk kawasan tambakan terletak di Middle Bank dan masih belum mempunyai sempadan yang jelas, bercanggah dengan kenyataan Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang menafikan pencerobohan kawasan tersebut.
“EIA turut menyatakan bahawa kerja tambakan akan merosakkan kualiti air dengan meningkatkan kekeruhan, melepaskan bahan cemar, mengurangkan oksigen terlarut, serta membentuk keladak. Middle Bank, yang merupakan habitat padang lamun dan dataran lumpur pasang surut, dijangka paling terjejas, mengancam ekosistem marin yang penting bagi industri perikanan.
“Limpahan air dari tapak pembinaan serta larut resap yang tidak terkawal boleh mencemarkan Selat Pulau Pinang, merosakkan perairan marin, dan membahayakan hidupan akuatik. Sebarang pembangunan di kawasan ini atau berhampiran dengannya bukan sahaja akan memberi kesan kepada ekosistem marin tetapi juga menjejaskan mata pencarian nelayan,” katanya. – MalaysiaGazette