KUALA LUMPUR – Rakyat bukan tikus putih untuk menjadi eksperimen kerajaan berhubung penggunaan MyKad dalam pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang masih belum jelas sehingga sekarang.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tanpa maklumat asas, kekeliruan yang disuarakan oleh Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) baru-baru ini membuktikan kerajaan sehingga kini gagal memberikan mekanisme jelas mengenai subsidi bersasar berkenaan.
“Jika kerajaan ingin mengambil sebarang langkah besar yang melibatkan kehidupan harian sebahagian besar rakyatnya, ia mesti dirancang dengan betul dan konsisten sebelum dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, PDAM merayu kepada kerajaan menjelaskan cara penggunaan MyKad dalam pelaksanaan subsidi bersasar RON95.
Persatuan itu mendakwa, sehingga kini tiada libat urus diadakan oleh kerajaan untuk menerangkan secara terperinci mengenai pelaksanaan subsidi tersebut.
Mengulas lanjut Dominic berkata, sistem pembayaran sedia ada sudah tentu tidak mampu membezakan secara automatik antara kedua-dua bagi RON95 bersubsidi mahupun sebaliknya.
Pihak industri yang tidak mempunyai sistem yang sepadan untuk menyokong perubahan berkenaan akan berdepan dengan masalah operasi harian stesen minyak, pada masa akan datang, katanya lagi.
“Menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah, akan ada dua harga untuk subsidi RON95…Buat masa sekarang, kenderaan pendaftaran asing tidak dibenar membeli RON95, jika pemilik mempunyai MyKad, adakah dia boleh menikmati subsidi itu?
“Malah keseluruhan sistem mungkin terjejas, akhirnya menjejaskan pengguna. Adakah kerajaan akan meletakkan semua kesalahan kepada pengusaha, sambil mengelak tanggungjawab?,” soal beliau.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 selepas separuh pertama tahun ini.
Ujarnya, pembangunan mekanisme pelaksanaannya sedang diperhalusi.-MalaysiaGazette