KUALA LUMPUR – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri Pahang dan di Malaysia secara amnya.
Baginda berdua mendoakan agar kehadiran bulan Syawal ini membawa seribu keberkatan, kedamaian dan kemakmuran buat semua.
“Hari Raya ini bukan sahaja meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga mengingatkan umat Islam tentang erti kesabaran, pengorbanan, dan kasih sayang yang sejati serta peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki diri,” titah baginda berdua dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga dengan semangat kekeluargaan dan perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat negeri Pahang.
Titah baginda, keikhlasan dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada sesama sendiri adalah lambang kebesaran hati dan ketabahan jiwa.
Dalam pada itu, baginda berdua mengajak rakyat menghargai nikmat yang Allah berikan, dan memberi kemaafan kepada sesama kita.
“Inilah saat untuk membersihkan hati, melupakan segala perbezaan, dan merayakan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar rakyat Pahang.
“Semoga setiap doa dan amal ibadah kita sepanjang Ramadan diterima oleh Allah, dan semoga kita sentiasa diberikan petunjuk serta hidayahNya dalam hidup ini,” titah baginda lagi.
Baginda berdua turut menyampaikan doa semoga Allah memberikan kekuatan, kesabaran, dan ketenangan kepada mereka yang masih berduka, kehilangan orang tersayang, atau yang diuji dengan pelbagai cabaran hidup.
Selain itu mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya iaitu memandu dengan selamat.
“Pengguna jalan raya diingatkan supaya memeriksa keadaan kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan selain memandu dengan berhemah dan bersabar ketika berhadapan dengan kesesakan lalu lintas.
“Tidak lupa jua ucapan Selamat Hari Raya yang tulus ikhlas daripada saya sekeluarga khas buat warga Borneo,” titah baginda
Dalam pada itu, baginda mengingatkan semua agar menjaga kesihatan dalam kita bergembira menikmati hidangan yang lazat dengan tidak makan secara berlebih-lebihan.
“Semoga Allah memberkati kita semua dengan kebahagiaan, kedamaian, dan kemakmuran yang abadi, di dunia dan akhirat. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” titah baginda.