JOHOR BAHRU – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menawarkan diri bertanding calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai dan Calon Ketua AMK Cabang Pulai dalam pemilihan PKR 2025-2028.
Beliau menawarkan diri untuk bertanding bagi meneruskan perjuangan parti untuk mengangkat agenda reformasi masih jauh dan penuh cabaran serta perlu dilakukan berterusan.
“Kemenangan dalam pilihan raya yang lalu dan berjaya memimpin sebuah kerajaan bukanlah noktah akhir perjuangan kita.
“Sebaliknya ia adalah permulaan untuk memastikan prinsip dan idealisme parti terus dipertahankan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mengisi kemenangan dengan memperkukuh perjuangan memerlukan satu pasukan terdiri daripada pelbagai latar belakang melibatkan Melayu, Cina dan India.
Jelasnya, ini bagi memastikan agar cabang parti terus kuat dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
“Kepelbagaian ini adalah kekuatan utama kita.
Begitu juga dengan kesetiaan kepada prinsip perjuangan, disiplin dalam organisasi dan keutuhan perpaduan parti adalah tunjang kepada kejayaan kita dalam mengangkat suara rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, semua itu adalah amanat penting Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu dipatuhi dan sentiasa semat dalam hati.
Justeru, beliau memohon doa dan dokongan daripada teman-teman serta seluruh anggota parti di cabang Pulai untuk bertanding.
“Bersama kita perkukuh parti, kita teruskan perjuangan,” katanya.- MalaysiaGazette