PUCHONG – Kebakaran yang berlaku di kawasan pipeline Seksyen 13, Jalan Harmoni, Putra Heights masih dalam kawalan, namun pihak berkuasa mengingatkan penduduk agar tidak menghampiri kawasan yang terjejas bagi mengelakkan sebarang risiko.
Berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada Petronas, terdapat tiga saluran paip utama di lokasi kejadian dengan saiz diameter masing-masing 36 inci, 36 inci dan 30 inci.
Kawasan yang terbakar melibatkan saluran paip di antara gate valve 210 hingga gate valve 211, sepanjang 18 kilometer.
Manakala, laluan pipeline dari gate valve 211 ke gate valve 212 berukuran 14 kilometer turut terjejas dalam insiden ini.

Sebagai langkah keselamatan, Petronas telah menutup empat gate valve utama, termasuk gate valve 210 dan 211 yang ditutup pada jam 8.46 pagi dan 8.51 pagi.
Namun, tekanan gas dalam saluran paip masih wujud, menyebabkan api terus marak sehingga kesemua gas dalam sistem terbakar sepenuhnya.
Petronas juga telah menjalankan kerja-kerja pelepasan gas di beberapa gate valve utama untuk mempercepatkan proses ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya kini sedang memantau situasi bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.
“Kebakaran ini berpunca daripada tekanan gas yang masih berada dalam pipeline, jadi kami perlu menunggu sehingga gas tersebut habis terbakar sebelum melakukan pemadaman penuh.
“Kami juga telah mengerahkan anggota bomba untuk melakukan pemantauan ketat bagi mengelakkan sebarang risiko letupan atau kebakaran merebak ke kawasan lain,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau juga menasihatkan penduduk supaya tidak menghampiri kawasan saluran paip yang masih aktif bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Dalam usaha memastikan tiada mangsa yang tertinggal, pihak polis dan bomba telah menjalankan pemeriksaan ke atas 49 premis, termasuk 37 rumah di Taman Harmony dan 12 rumah di Kampung Sungai Baru.
Pemeriksaan kedua akan dilakukan bagi memastikan tiada penduduk yang terperangkap, terutama mereka yang tinggal bersendirian atau gagal melaporkan keadaan mereka kepada pusat operasi.
Setakat ini, kebanyakan mangsa mengalami melecur di bahagian kaki akibat letupan awal, dengan 63 orang telah dihantar ke hospital termasuk Hospital Serdang, Hospital Putrajaya dan hospital berdekatan.
Tiada kematian dilaporkan buat masa ini.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan terdapat kerja-kerja penyelenggaraan atau aktiviti berhampiran pipeline sebelum kejadian berlaku.
Namun, sebarang spekulasi masih terlalu awal dan penyiasatan menyeluruh sedang dijalankan.
Penduduk sekitar Subang Jaya dan Putrajaya dinasihatkan supaya menjauhi kawasan pipeline, terutamanya sekitar blok 211 hingga blok 212, bagi mengelakkan sebarang insiden berulang.
Pihak Petronas sedang memantau pelepasan gas dan memastikan tiada risiko letupan susulan.
Perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette