KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor telah mengaktifkan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Height bagi menempatkan mangsa yang terkesan akibat bencana kebakaran yang dikategorikan sebagai Bencana Tahap 1.
Setakat jam 1 tengah hari, seramai 49 mangsa yang terdiri daripada 17 keluarga telah ditempatkan di PPS ini, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan di sini.
Mangsa yang ditempatkan di PPS akan diberikan kemudahan makanan, set kebersihan diri, kelengkapan untuk tidur dan air minuman serta kudapan untuk memberikan keselesaan kepada
mereka.
KPWKM melalui JKM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa yang ditempatkan di PPS berada dalam keadaan selamat dan terjaga.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Mangsa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih KPWKM yang beroperasi 24 jam sehari melalui Talian Bebas Tol 15999, Aplikasi WhatsApp di nombor 019-26 15999 atau Aplikasi Mudah Alih Talian Kasih. – MalaysiaGazette