Antara rumah dan kenderaan sekitar Kampung Tengah yang terbakar teruk ekoran bahang kebakaran besar saluran paip gas di Putra Heights, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 1 APRIL 2025

KUALA LUMPUR- Kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong dipadamkan sepenuhnya jam 3.45 petang ini, kata Bomba Selangor.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor memaklumkan, seramai 305 mangsa insiden kebakaran itu berjaya diselamatkan setakat pukul 5 petang ini.

Katanya, mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan Pusat Perubatan Hospital Subang Jaya, Sunway Medical Centre, Hospital Serdang serta Hospital Putrajaya.

“Keutamaan pada masa sekarang adalah keselamatan penduduk. Dua kawasan perumahan terbabit seluas radius 290 meter akan ditutup dan dikategorikan sebagai kawasan larangan sehingga ia dipastikan selamat sebelum penduduk dibenarkan kembali ke rumah mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, petang ini.

Amirudin berkata Kerajaan Selangor akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam mengendalikan isu berkenaan demi kesejahteraan para penduduk.

Terdahulu, Amirudin tiba di Pos Kawalan Tempat Kejadian pada 4.20 petang dan bertemu Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad.

Setakat pukul 3.40 petang ini, 190 unit rumah, 148 kereta serta 11 motosikal dilaporkan rosak dalam kejadian kebakaran itu.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

LAGI MENYUSUL –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here