PUCHONG – Tragedi kebakaran paip gas bawah tanah di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, hari ini menjejaskan ratusan penduduk yang berada dalam kawasan seluas 28 hektar dengan kebakaran meliputi keluasan 290 meter persegi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan, setakat ini lebih 300 premis rosak termasuk 10 unit rumah kedai yang masih dalam pembinaan.
Daripada jumlah itu katanya, 78 kediaman mengalami kerosakan teruk.
Tambah Amirudin, dua kawasan terjejas teruk adalah Taman Harmoni di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, yang melibatkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Serdang dan DUN Kota Kemuning.
“Seramai 145 orang dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut. Daripada jumlah itu, 65 mangsa sedang menerima rawatan di hospital, manakala 60 orang telah dibenarkan pulang.
“Manakala rumah yang mengalami kerosakan keseluruhan dianggarkan sekitar 300 unit. Kerajaan negeri akan akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM2,500 hingga RM5,000 kepada setiap keluarga terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di pusat penempatan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights di sini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, walaupun kebakaran berjaya dikawal namun pihak berwajib masih menjalankan pemeriksaan sepenuhnya untuk tempoh 24 jam akan datang.
Jelasnya, pihak berkuasa bimbang andai berlaku kesan sampingan seperti kebocoran gas atau ancaman lain.
“Tempoh 24 jam hingga 48 jam diperlukan untuk memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum penduduk dibenarkan mengambil barangan peribadi atau kembali ke kediaman masing-masing.
“Tolong beri ruang juga kepada pihak berwajib jalankan siasatan terperinci, jangan ada teori atau spekulasi. Kita tunggu dulu laporan siasatan rasmi dan kenalpasti pihak bertanggungjawab.
Terdahulu, Amirudin yang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat lokasi terjejas di Jalan Harmoni, Putra Heights.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Petronas kerana mencari penempatan baharu kepada mangsa.
“Kita jangkakan proses baik pulih dijangka mengambil masa setahun. Kita perlukan masa untuk menyelesaikan perkara ini secara menyeluruh. Keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette